Harga minyak mentah dunia diramal tinggi 2024 bakal kukuhkan prospek MISC - MIDF Research

Business & Finance
31 May 2024 • 10:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga minyak mentah dunia diramal tinggi 2024 bakal kukuhkan prospek MISC - MIDF Research

herman

31/05/2024 - 10:25

KUALA LUMPUR 31 Mei - Harga minyak mentah Brent yang dijangka kekal tinggi dan stabil pada tahun ini mengukuhkan lagi prospek MISC Berhad pada CY24, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan diunjur tinggi untuk segmen kapal tangki dan unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) di samping perniagaan penghantaran gas asli cecair (LNG) pada 2024.

"Dengan mempertimbangkan bahawa pendapatan suku pertama melebihi jangkaan, kami menaikkan ramalan pendapatan bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak +23% dan +3%.

"Oleh itu, kami mengemas kini harga sasaran (TP) MISC kepada RM9.75 sesaham, dengan mengaitkan PER baru sebanyak 15.6x kepada EPS24 yang telah dipinda sebanyak 65 sen," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Secara keseluruhan, MIDF Research mengulangi pandangan positif terhadap usaha masa depan MISC, dengan memanfaatkan aktiviti hulu yang kukuh, jangkaan pertumbuhan permintaan untuk LNG dan produk petroleum pada CY24.

"Pendapatan teras 1QFY24 MISC telah melebihi anggaran pendapatan tahunan kami sebanyak 36% dan konsensus sebanyak 35%.

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan Beli dengan TP yang dipinda kepada RM9.75 sesaham (sebelumnya RM8.48)," jelasnya.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan modal aktviti huluan global dijangka kekal positif dengan harga minyak mentah Brent yang tinggi.

Oleh itu, katanya, permintaan terhadap FPSO dijangka kekal kukuh sepanjang CY24, didorong oleh peningkatan permintaan minyak global dan projek yang dirancang terutamanya dari Brazil, Afrika, dan Asia-Pasifik.

"Aliran pendapatan yang terjamin dari kontrak jangka panjang segmen ini akan terus memberikan sokongan stabil bagi prestasi kewanganannya," ujarnya.

Bagi segmen penghantaran petroleum, MIDF Research berkata, permintaan dan bekalan kapal tangki kekal menguntungkan dan dengan itu, MISC dijangka terus melabur dalam aset dual-bahan api dan memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi.

"Prospek bagi pasaran penghantaran LNG kekal positif kerana kadar sewa dijangka meningkat secara beransur-ansur selaras dengan permintaan bermusim.

"Untuk masa depan, pendapatan operasi keseluruhan bagi segmen ini dijangka kekal stabil," katanya- DagangNews.com