johardy30/04/2026 - 09:10 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 April - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dijangka meneruskan momentum kenaikan dengan potensi untuk mencecah paras RM4,800 setiap satu tan susulan aktiviti belian yang semakin kukuh dalam pasaran.
Menurut RHB Research, komoditi tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak RM42 pada sesi dagangan Rabu untuk ditutup pada paras RM4,578 satu tan, mencerminkan pemulihan minat belian selepas tekanan jualan sebelum ini.
FCPO dibuka lebih rendah pada RM4,527 sebelum susut ke paras terendah intrahari RM4,491, namun kembali meningkat untuk mencecah paras tertinggi RM4,583 sebelum ditutup kukuh.
"Pembentukan corak lilin menaik dalam carta harian memberi isyarat jelas bahawa sentimen pasaran kembali positif," kata penganalisis firma penyelidikan itu, Aiman Kamil Ahmad Shauqi dalam nota analisis teknikal hari ini.
Penunjuk Relative Strength Index (RSI) yang kembali bergerak ke atas turut menunjukkan momentum kini kembali menyebelahi pedagang yang menjangkakan kenaikan harga dalam tempoh terdekat.
Aliran teknikal kekal menyokong kenaikan
Selain itu, struktur teknikal keseluruhan kekal menyokong aliran menaik apabila garisan purata bergerak mudah (SMA) 50 hari dan 200 hari terus menunjukkan trend peningkatan.
RHB Research mengekalkan saranan pegangan belian terhadap FCPO, dengan jangkaan harga berpotensi menembusi paras rintangan RM4,680 dalam masa terdekat.
"Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras RM4,800 satu tan," kata firma penyelidikan itu.
Namun begitu, firma tersebut berkata, prospek positif ini bergantung kepada keupayaan harga untuk kekal di atas paras sokongan penting pada RM4,400, yang jika ditembusi boleh menandakan perubahan arah aliran pasaran. - DagangNews.com




