Harga minyak sawit mentah diramal stabil sekitar RM4,200 setiap tan pada 2025 disokong permintaan tinggi - penganalisis

13/08/2025 - 12:04
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Harga minyak sawit mentah (MSM) diramal stabil antara RM4,100 hingga RM4,200 bagi setiap tan pada 2025 disokong permintaan yang lebih tinggi dari pasaran sensitif terhadap harga seperti Pakistan dan India, walaupun terdapat tanda-tanda peningkatan dalam pengeluaran.
CGS International (CGSI) berkata, perancangan Indonesia melaksanakan mandat biodiesel B50 pada 2026 dan gesaan kepada pengeluar tempatan untuk meningkatkan jualan di pasaran domestik turut menyokong harga MSM.
“Kami melihat sokongan harga baru-baru ini daripada langkah biodiesel dan Kewajipan Pasaran Domestik Indonesia berkemungkinan bersifat sementara, manakala bekalan minyak sayuran global yang mencukupi dan asas permintaan yang lembap dijangka terus mengehadkan potensi kenaikan harga MSM secara bermakna,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan yang berterusan bagi syarikat perladangan huluan tulen memandangkan harga semasa MSM kekal sekitar paras RM4,200 satu tan.
Katanya, paras stok MSM Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam 19 bulan kepada 2.1 juta tan pada bulan Julai, sejajar dengan kenaikan pengeluaran sebanyak 7.1%, manakala eksport menurun kepada 1.3 juta tan — merosot sekitar 22.9% tahun ke tahun (y-o-y).
"Penurunan eksport ini berlaku walaupun terdapat peningkatan premium harga berbanding minyak kacang soya pada bulan Julai, iaitu sebanyak AS$332 satu tan," katanya.
Selain itu, MBSB Research berkata, walaupun premium diskaun bagi bulan Julai adalah 55% lebih tinggi daripada purata tiga tahun sebanyak AS$214 satu tan, permintaan terhadap MSM kekal suram.
Katanya, risiko premium dijangka berkurangan apabila pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan MSM pulih di tengah-tengah paras stok yang mencukupi.
MBSB Research menjangkakan harga purata MSM bagi 2025 adalah sekitar RM4,100 satu tan.
Firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran MSM Malaysia dijangka pulih semula pada 2025, memandangkan pengeluaran setakat tahun ini sebanyak 10.77 juta tan adalah 4% lebih tinggi berbanding purata pengeluaran Januari hingga Julai dalam tempoh 10 tahun, iaitu 10.35 juta tan.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, pengeluaran MSM Malaysia bagi tahun 2025 akan mencecah 19.2 juta tan, iaitu melebihi purata 10 tahun sebanyak 19 juta tan.
Firma penyelidikan itu menjangkakan asas penawaran dan permintaan dalam pasaran minyak makan global terus menyokong harga MSM pada tahun 2025 dan 2026.- DagangNews.com
featured standard
