Pendapatan 2QFY25 Maybank diramal mendatar disebabkan kos operasi tinggi serta ketiadaan pemacu hasil - CMB Securities

12/08/2025 - 12:50
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Keputusan suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) Malayan Baning Berhad dijangka kekal mendatar memandangkan ketiadaan pemacu hasil utama selain perbelanjaan operasi kekal tinggi, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan faedah bersih kumpulan perbankan itu dijangka kekal stabil berikutan kelegaan daripada pengurangan 100 mata asas (bps) dalam keperluan rizab berkanun, yang bertujuan mengurangkan tekanan kos pembiayaan.
Sebaliknya, pendapatan bukan faedah (NOII) mungkin terjejas disebabkan oleh pertumbuhan fi yang perlahan dan kerugian penilaian pasaran ekuiti dalam perniagaan insuransnya.
Perbelanjaan operasi yang kekal tinggi, terutamanya kos kakitangan, juga dijangka terus menjadi faktor penghalang utama, sekaligus mengehadkan prospek prestasi jangka pendek, tambah firma penyelidikan itu.
Memandangkan potensi pendapatan yang terhad dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar, CIMB Securities mengekalkan saranan “pegang” terhadap saham Maybank, dengan harga sasaran baharu sebanyak RM9.85 sesaham, berdasarkan penilaian untuk tahun kewangan 2026 (FY26).
Harga sasaran itu adalah berdasarkan unjuran gandaan harga kepada nilai buku (P/BV) FY26 sebanyak 1.21 kali, disokong oleh pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 10.4% dan kos ekuiti sebanyak 9.1%.
“Andaian kami mencerminkan jangkaan bahawa momentum pendapatan jangka pendek kekal lemah, memandangkan halangan makroekonomi seperti gangguan rantaian bekalan global, aktiviti perdagangan yang perlahan, serta kemungkinan penyederhanaan aktiviti domestik dari 2H25 hingga 1H26,” katanya dalam satu nota kajian.
Namun begitu, asas kewangan Maybank kekal kukuh, disokong tahap modal yang sihat, kedudukan mudah tunai yang kukuh, profil pembiayaan yang pelbagai, kualiti aset yang mantap, dan rangkaian perbankan serantau ASEAN yang luas.
Firm penyelidikan itu berkata, namun imbangan risiko dan ganjaran dilihat "neutral" dalam jangka pendek.
CIMB Securities turut menjangkakan, pendapatan Maybank bagi separuh kedua 2025 (2H25) akan menyederhana disebabkan beberapa faktor, termasuk penyusutan margin faedah bersih (NIM) susulan pengurangan 25 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) pada bulan Julai, serta ketidakpadanan aset-liabiliti.
Ini diikuti oleh kemerosotan momentum pertumbuhan pinjaman berikutan aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih lemah, serta pendekatan pinjaman yang lebih berhati-hati. - DagangNews.com
standard

