amree22/09/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept — Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,700 satu tan pada Oktober 2026 dan berkemungkinan berterusan hingga akhir tahun, disokong cuaca kering di Asia Tenggara, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Ujarnya, perkembangan cuaca pada Oktober dan November depan menjadi faktor penting yang menentukan kesan sebenar keadaan kering terhadap pengeluaran sawit pada 2027, ketika fenomena El Nino semakin ketara di Malaysia dan Indonesia sejak awal Ogos 2026 lalu.
Keadaan cuaca kering itu menimbulkan kebimbangan terhadap pengeluaran sawit hingga sembilan bulan akan datang Malaysia merekodkan taburan hujan sekitar 30% lebih rendah daripada purata pada Ogos, manakala di Indonesia pula kurang 60% di bawah paras purata.
"Situasi itu menyebabkan pengeluaran minyak sawit Malaysia hanya naik kecil 1.4% bulan ke bulan (MoM) kepada 1.81 juta tan pada Ogos 2026, disokong peningkatan kutipan tandan buah segar (FFB) dan kadar perahan minyak (OER)," jelas MPOC dalam satu kenyataan.
Pengeluaran namun masih rendah, mencatatkan penurunan tahun ke tahun (YoY) untuk bulan keenam berturut-turut sejak Mac 2026, manakala penghantaran pada Ogos susut 7.5% MoM kepada 1.29 juta tan berikutan kelemahan eksport ke Asia Selatan dan Timur Tengah.
Bagaimanapun ia menjangkakan eksport minyak sawit Malaysia bagi keseluruhan 2026 mencecah 16 juta tan, meningkat 5.2% berbanding 2025, dengan peningkatan pengeluaran dan kelemahan eksport pada Ogos menyebabkan stok minyak sawit meningkat kepada 2.82 juta tan.

Dalam pasaran minyak sayuran global, harga MSM Malaysia naik 3.5% pada September, mengatasi minyak kacang soya Argentina yang meningkat 3.3%. Sebaliknya, minyak bunga matahari Argentina susut 6.1% akibat tekanan bekalan ketika Ukraine dan Rusia memasuki musim tuaian.
"Pengeluaran minyak sawit Indonesia dijangka merosot 1.9 juta tan pada 2027, manakala Malaysia diunjur turun 0.7 juta tan. Eksport Indonesia dijangka jatuh hampir 3 juta tan susulan permintaan domestik lebih tinggi bagi campuran biodiesel serta pengeluaran lemah," katanya.
Bagi Malaysia, eksport dijangka kekal sekitar 16 juta tan pada 2027, menjadikan negara ini semakin penting sebagai sumber bekalan kepada pengguna minyak sawit global. Justeru, MPOC menjangkakan paras stok semasa yang tinggi berkemungkinan hanya bersifat sementara.
Pada masa sama, pengeluaran empat minyak sayuran utama dunia dijangka meningkat 3.1 juta tan tahun depan, berbanding pertumbuhan penggunaan sebanyak 6.1 juta tan, menunjukkan permintaan berpotensi berkembang jauh lebih pantas daripada bekalan.
MPOC turut merujuk isu gangguan pasaran tenaga susulan penutupan kemudahan saluran paip di Arab Saudi serta gangguan penghantaran di Selat Hormuz dan Selat Bab al-Mandab menyaksikan kenaikan 21% harga MSM, sekali gus meningkatkan margin campuran biofuel.
"Risiko penurunan harga tenaga dan peningkatan lanjut stok bagaimanapun kekal sebagai faktor yang boleh menekan harga MSM, khususnya ketika pengeluaran sawit lazimnya memuncak pada September atau Oktober," jelas majlis tersebut. - DagangNews.com




