
Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik antara 10 hingga 20 sen seliter berkuat kuasa 20 hingga 26 Ogos akibat ketidaktentuan global.
KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik antara 10 sen hingga 20 sen seliter bagi tempoh 20 hingga 26 Ogos ini.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bagi tempoh berkenaan, harga RON97 ditetapkan pada RM4.25 seliter berbanding RM4.15 sebelum ini, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.77 seliter berbanding RM3.62 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.67 seliter berbanding RM4.47 sebelum ini.
Pada masa sama, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).
MOF memaklumkan Kerajaan MADANI menanggung subsidi RM1.78 seliter bagi pengguna layak di bawah BUDI95 bersamaan dengan kira-kira 47 peratus daripada harga RM1.99 seliter dibayar di pam, manakala bagi BUDI Diesel, subsidi ditanggung adalah RM2.57 seliter atau 55 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.
Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia atas alasan tiada kesepakatan dicapai untuk menyelesaikannya.
Menurut MOF, konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia dan ketika tempoh pengiraan harga Mekanisme Harga Automatik (APM), Ukraine menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang juga pengeluar minyak ketiga terbesar dunia.
“Selagi konflik di Asia Barat belum mencapai penyelesaian muktamad dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara.
“Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan MADANI menyeru rakyat supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, merancang perjalanan lebih cekap serta mengurangkan perjalanan tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan bahan api negara dan perbelanjaan subsidi.
Kementerian itu memberi jaminan Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.





