Harga Petrol, Diesel Tanpa Subsidi Turun 5 Sen Bermula 6 Ogos

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 9:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Harga Petrol, Diesel Tanpa Subsidi Turun 5 Sen Bermula 6 Ogos

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit bahan api tanpa subsidi sebanyak lima sen seliter bagi petrol RON97, petrol RON95 dan diesel untuk tempoh 6 hingga 12 Ogos 2026 di bawah mekanisme Automatic Pricing Mechanism (APM).

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada Rabu, harga petrol RON97 akan diturunkan kepada RM4.35 seliter berbanding RM4.40 sebelum ini.

Bagi petrol RON95 tanpa subsidi pula, harga baharu ditetapkan pada RM3.77 seliter, turun daripada RM3.82, manakala diesel tanpa subsidi dijual pada RM4.57 seliter, berbanding RM4.62 sebelum ini.

Dalam pada itu, harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah, iaitu RM1.99 seliter bagi BUDI95 RON95, RM2.10 seliter bagi BUDI Diesel, RM2.05 seliter di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan RM2.15 seliter menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

MOF memaklumkan, rakyat Malaysia yang layak masih boleh mendapatkan petrol RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada syarat kelayakan program serta kuota bulanan ditetapkan.

Menurut kementerian itu, penurunan harga kali ini didorong oleh penyusutan harga minyak mentah Brent menjelang penghujung kitaran penetapan harga APM, meskipun penanda aras tersebut pernah melepasi paras AS$90 setong pada awal minggu.

Bagaimanapun, MOF menjelaskan pasaran minyak global masih berdepan ketidaktentuan yang tinggi susulan faktor geopolitik, termasuk perkembangan yang berubah-ubah berkaitan usaha damai di kawasan konflik.

Selain itu, risiko gangguan bekalan melalui laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz dan Laut Merah akibat ketegangan serantau turut dijangka terus memberi tekanan kepada pasaran petroleum dunia.

“Selagi konflik ini belum menemui penyelesaian, harga petroleum dijangka terus mengalami turun naik dalam pasaran global,” menurut kenyataan itu.

MOF turut menegaskan, Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan program subsidi bahan api secara bersasar bagi melindungi isi rumah dan sektor perniagaan daripada kesan ketidakstabilan pasaran global.

Antara inisiatif yang diteruskan ialah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS). - Getaran, 5 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved