Harga Plastik Naik, Florist Indonesia Kreatif Guna ‘Bahan Ini’ Untuk Bungkus Bunga Lebih Estetik

EnvironmentLifestyle
19 Apr 2026 • 8:22 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Harga Plastik Naik, Florist Indonesia Kreatif Guna ‘Bahan Ini’ Untuk Bungkus Bunga Lebih Estetik

Harga Plastik Naik, Florist Indonesia Kreatif Guna ‘Bahan Ini’ Untuk Bungkus Bunga Lebih Estetik

Konflik yang berlaku di rantau Asia Barat sememangnya bukan isu yang jauh daripada kita.

Apabila ketegangan memuncak dan rantaian bekalan minyak mentah terganggu, kesannya boleh dirasai di seluruh dunia termasuk kepada ekonomi global.

Harga petroleum berpotensi meningkat, bahkan kos pengeluaran pelbagai barangan lain yang bergantung kepada produk berasaskan minyak turut boleh terjejas.

Dalam masa yang sama, ada juga peniaga yang mengambil langkah kreatif dan inovatif untuk berdepan dengan kenaikan harga barangan ini.

Kreatif, syarikat Indonesia guna 'bahan' ini sebagai pengganti pembalut gubahan bunga

Baru-baru ini, sebuah syarikat gubahan bunga di Indonesia tular di media sosial selepas memperkenalkan idea unik dan menarik dengan menggunakan daun sebagai pengganti pembalut bunga.

Oleh kerana plastik diperbuat daripada bahan api fosil, ia juga terkesan apabila bekalan minyak mentah terganggu, yang akhirnya menyebabkan harganya turut meningkat.

Menerusi video yang dikongsikan oleh @dailylily.id di Instagram, kelihatan gubahan bunga ini menggunakan daun bersaiz besar sebagai pengganti pembalut plastik.

Antara daun yang digunakan termasuklah daun sukun, daun kunyit dan daun pisang, selain gabungan beberapa jenis daun lain.

Idea ini sememangnya unik dan berbeza daripada kebiasaan, namun hasil gubahan tetap kelihatan cantik, kemas dan menarik.

Video berkenaan mendapat 1.2 juta tontonan setakat ini

Menjengah ke ruangan komen, warga maya merasakan gubahan bunga itu kelihatan lebih cantik berbanding menggunakan pembalut plastik.

Ada juga yang berpendapat gubahan bunga yang dibuat menggunakan daun kelihatan lebih estetik serta turut memberikan pelbagai cadangan tambahan.

Malah, mereka turut memuji tindakan tersebut kerana mesra alam serta tidak menghasilkan sisa yang sukar terurai seperti plastik.

"Elok untuk kurangkan penggunaan plastik, boleh jaga Bumi," komen seorang warga maya.

"Saya sangat bersetuju dengan idea ini. Saya suka bunga, tetapi saya tidak suka jambangan yang mengandungi banyak plastik. Saya rasa plastik sukar untuk reput," komen seorang lagi warga maya.

Baca juga: