Harga RON95, diesel tanpa subsidi turun mulai esok

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 8:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harga RON95, diesel tanpa subsidi turun mulai esok
Harga RON95 dan diesel tanpa subsidi diturunkan sebanyak 20 sen seliter, manakala RON97 mencatatkan penurunan 30 sen seliter bermula esok. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Harga RON95 dan diesel tanpa subsidi diturunkan sebanyak 20 sen seliter, manakala RON97 mencatatkan penurunan 30 sen seliter bermula esok.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.35 seliter berbanding RM4.65 sebelum ini manakala RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada harga RM3.72 seliter berbanding RM3.92.

Bagi diesel di Semenanjung, harga runcit ditetapkan pada harga RM4.67 seliter berbanding RM4.87 seliter dengan penetapan harga baharu berkuat kuasa sehingga 10 Jun depan.

"Dalam pada itu, harga RON95 bersubsidi menerusi program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.

"Harga petrol bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) turut dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala diesel bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter," menurut kenyataan itu.

MOF menjelaskan, harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu, selaras formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Namun jelasnya, penurunan tersebut tidak menandakan pasaran petroleum global kembali stabil, sebaliknya masih terdapat risiko tinggi harga minyak mentah dan produk petroleum kekal tinggi dalam jangka sederhana.

"Mutakhir ini, negara-negara pengimport utama di Asia terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat.

"Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, ia masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.

"Keadaan ini menunjukkan bahawa pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan," jelasnya.