
Harga Runcit Petrol, Diesel Diturunkan
Harga runcit petrol dan diesel di Malaysia bagi tempoh 4 hingga 10 Jun 2026 diturunkan selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), susulan penurunan purata harga petroleum di pasaran antarabangsa pada minggu terdahulu.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa penurunan harga tersebut tidak bermakna pasaran petroleum dunia telah kembali stabil.
Menurut kementerian itu, pasaran global masih berdepan ketidaktentuan yang tinggi berikutan konflik yang berlarutan di Asia Barat, yang kini menghampiri 100 hari.
Katanya, gangguan bekalan dari rantau tersebut telah memaksa beberapa negara pengimport utama di Asia meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi memastikan bekalan tenaga mereka tidak terjejas.
Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, jumlah itu masih belum mampu menggantikan sepenuhnya kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas akibat konflik.
"Keadaan ini menunjukkan bahawa pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan.
"Sekiranya konflik terus berlarutan, risiko penyusutan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu kepada harga minyak mentah serta produk petroleum dalam tempoh mendatang," jelas kementerian itu.
Kerajaan terus kekalkan subsidi bersasar
Dalam masa sama, Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk terus mengekalkan harga bahan api bersubsidi secara bersasar bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.


Di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada kadar RM1.99 seliter untuk lebih 14 juta penerima yang layak.
Menurut Kementerian Kewangan, harga semasa RON95 tanpa subsidi ialah RM3.72 seliter. Ini bermakna penggunaan 200 liter petrol sebulan akan menelan kos RM744 jika dibeli pada harga pasaran.
Namun, menerusi skim BUDI95, penerima yang menggunakan kelayakan maksimum 200 liter hanya perlu membayar RM398 sebulan, manakala kerajaan menanggung subsidi sehingga RM346 bagi setiap penerima.
Bagi diesel pula, harga tanpa subsidi kini berada pada RM4.67 seliter, iaitu lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi sebanyak RM2.15 seliter.
Menurut kerajaan, langkah mengekalkan subsidi diesel penting bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api terhadap kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.
Rakyat diseru berhemat guna bahan api
Kementerian Kewangan turut menggesa rakyat supaya menggunakan bahan api secara berhemah melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak diperlukan.
Menurutnya, amalan tersebut dapat membantu memastikan bekalan bahan api negara terus mencukupi dan terjamin dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
Kerajaan MADANI turut menegaskan bahawa pendekatan yang seimbang akan terus diambil bagi melindungi rakyat daripada kesan turun naik harga minyak dunia, sambil memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan dan berhemah.







