Harga RON95 turun pacu sentimen pengguna berbelanja, MR DIY diyakini untung besar – HLIB

06/10/2025 - 14:15
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 6 Okt – Penurunan harga petrol RON95 kepada warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah, menyaksikan MR DIY Group (M) Berhad muncul antara penerima manfaat utama.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), keadaan itu merangsang perbelanjaan pengguna di rangkaian kedai kumpulan berkenaan sejak skim rasionalisasi subsidi bahan api tersebut bermula 30 September 2025.
Firma penyelidikan berkenaan menambah, situasi positif itu turut dibantu oleh pelbagai inisiatif rangsangan kerajaan seperti kredit e-dompet MyKasih sebanyak RM100 bagi rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.
"Perkembangan itu dijangka meringankan beban kos sara hidup golongan miskin dan kami melihat perkara ini sebagai pemangkin positif kepada sektor runcit terutama MR DIY," katanya dalam satu nota.
Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2.30 sesaham, berpandukan prospek pertumbuhan kukuh serta prestasi teknikal yang memberangsangkan.
Selain itu katanya, MR DIY dijangka terus mencatat pertumbuhan sihat dengan memenuhi sasaran 190 cawangan baharu menjelang FY25, yang mengukuh kedudukan sebagai peneraju runcit barangan rumah.
Kedai format khususnya seperti Mr TOY 2.0 menunjukkan peningkatan jualan dua kali ganda selepas dinaik taraf, manakala inisiatif seperti Kempen RM2 Eco dijangka meningkatkan kadar perbelanjaan domestik.
"Syarikat ini turut dijangka mampu mencatat kadar pertumbuhan keuntungan bersih tahunan (CAGR) sebanyak 10.3% bagi FY24 hingga FY27, serta pulangan ekuiti (ROE) yang kukuh sekitar 28%," jelas HLIB.
Kadar tersebut tambah firma berkenaan, adalah jauh melepasi rekod bagi purata industri peruncitan sebanyak 24.4% dengan margin keuntungan MR DIY juga diunjur adalah kekal sihat sekitar 10.5%.
Dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY26 hanya pada 23.3 kali, sahamnya kini diniagakan pada diskaun 19% berbanding rakan setara, menjadikan MR DIY pilihan menarik dalam sektor pengguna.
HLIB turut menjangka Belanjawan 2026 membawa pendekatan lebih mesra pengguna, dan menyaksikan peningkatan bantuan fiskal hasil daripada penjimatan melalui pelaksanaan reformasi utama kerajaan.
"Ini dijangka terus menyokong pertumbuhan perniagaan sektor runcit, khususnya syarikat seperti MR DIY yang menyasarkan fokus golongan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana," kata firma itu.
Justeru, firma penyelidikan itu berpendapat, dengan gabungan faktor makro yang positif dan asas kukuh syarikat, kumpulan tersebut berada dalam posisi terbaik untuk meneruskan pertumbuhan baik.
Penurunan harga bahan api serta bantuan kerajaan dilihat mampu mengembalikan keyakinan pengguna, satu petanda positif bagi prestasi jualan runcit dalam tempoh mendatang. - DagangNews.com
standard


