
Harga RON97 Dan RON95 Tanpa Subsidi Naik, Diesel Kekal
Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit RON97 naik sebanyak lima sen seliter, manakala RON95 tanpa subsidi naik 10 sen seliter berkuat kuasa 30 April hingga 6 Mei.
Menerusi satu kenyataan, MOF juga berkata harga diesel pula tiada perubahan dan kekal RM5.12 seliter.
MOF berkata harga RON97 dan RON95 tanpa subsidi diselaraskan berikutan pergerakan harga pasaran antarabangsa.
"Krisis di Asia Barat yang masih berlarutan terus mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran petroleum global.
"Dengan risiko konflik yang kekal tinggi dan hala tuju pasaran yang masih sukar dijangka, harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi diselaraskan berikutan pergerakan harga pasaran antarabangsa," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelarasan harga minggu ini adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu.
Harga petroleum yang kekal tinggi berbanding paras prakonflik turut dibelenggu oleh kekangan bekalan minyak dan produk petroleum global, apabila kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.
Baca juga:
Rupanya Macam Ini Perjalanan Minyak Sebelum Sampai Di Stesen Minyak Di Malaysia
Kerajaan Pertimbang Turunkan Cukai Jalan Kenderaan Diesel - PM Anwar
"Justeru, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemat bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara.
"Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin," kata MOF.





