
Harga RON97, Diesel di Semenanjung Naik
PUTRAJAYA, 25 Jun – Harga runcit mingguan petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 7 sen seliter bagi tempoh 26 Jun hingga 2 Julai 2025.
Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kewangan, harga baharu petrol RON97 ditetapkan pada RM3.21 seliter, berbanding RM3.14 seliter sebelum ini. Harga runcit diesel di Semenanjung pula meningkat kepada RM2.88 seliter, naik daripada paras sebelumnya iaitu RM2.81 seliter.
Harga runcit petrol RON95 kekal pada RM2.05 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak berubah iaitu pada paras RM2.15 seliter.
Kementerian memaklumkan bahawa semakan harga mingguan ini dilakukan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism selaras dengan perkembangan pasaran minyak mentah dunia.
Meskipun berlaku kenaikan, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal lebih rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” maklum kementerian berkenaan.
Sumber: Kementerian Kewangan
The post Harga RON97, Diesel Di Semenanjung Naik appeared first on Siakap Keli.



