Harga RON97, RON95 dan diesel naik

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 7:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harga RON97, RON95 dan diesel naik
Harga runcit RON97, RON95 dan diesel naik untuk tempoh 21 hingga 27 Mei ini. Gambar hiasan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Harga runcit bagi petrol RON97 naik 15 sen dari RM4.70 kepada RM4.85 seliter, manakala RON95 naik 20 sen dari RM3.87 kepada RM4.07 seliter untuk tempoh 21 hingga 27 Mei ini.

Diesel bagi Semenanjung Malaysia pula ditetapkan pada RM4.97 seliter, naik 10 sen berbanding RM4.87 pada 20 Mei.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, dalam keadaan pasaran global yang kekal tidak menentu, Kerajaan Madani meminta rakyat untuk terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara.

Kata kementerian tersebut, perancangan perjalanan harian juga dapat membantu penggunaan bahan api secara lebih cekap.

"Selaras formula 'Automatic Pricing Mechanism' (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 21 hingga 27 Mei ini, RON97 (RM4.85 seliter), RON95 (RM4.07 seliter) serta diesel untuk Semenanjung Malaysia (RM4.97 seliter).

"Kemelut geopolitik di Asia Barat berlarutan melebihi 11 minggu tanpa tanda penyelesaian dalam masa terdekat. Dengan konflik yang berpanjangan, tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum global semakin mendesak.

"Harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$110 setong, hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$70 setong. Pada masa sama, kos logistik dan premium insurans turut meningkat ketara akibat risiko penghantaran melalui zon konflik, sekali gus memberi tekanan lanjut kepada harga produk petroleum," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

MoF memaklumkan, gangguan bekalan minyak global juga menjadi semakin meruncing apabila konflik terus berlarutan.

Tambahnya, Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia, manakala kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.

Dalam masa sama, MoF berkata, kerajaan terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.

Katanya, RON95 (BUDI95) masih ditetapkan pada paras RM1.99 seliter; diesel (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) RM2.15 seliter; Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebanyak RM2.15 seliter.

Jelas MoF, kerajaan turut mengekalkan paras harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI95).

"Lebih 90 peratus daripada jumlah liter RON95 yang digunakan di negara ini dalam kalangan pengguna yang menerima subsidi.

"Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM4.07 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM814. Ini bermakna Kerajaan Madani menanggung RM416 atau lebih daripada separuh kos sebenar RON95, bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.

"Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut," ujar kementerian itu lagi.

Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan petrol RON95 tanpa subsidi serta RON97 bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei diturunkan susulan penurunan harga pasaran antarabangsa.

Harga runcit RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM4.70 berbanding RM4.90 seliter pada 13 Mei lalu.

RON95 pula turun 15 sen seliter kepada RM3.87 berbanding RM4.02 seliter sebelum ini.

Bagi diesel di Semenanjung Malaysia, harga runcit diturunkan 30 sen seliter kepada RM4.87 berbanding RM5.17 seliter.