
PETALING JAYA – Harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi menyusut 10 sen seliter bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, harga RON97 turun kepada RM5.10 seliter berbanding RM5.15 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi berkurang kepada RM4.62 seliter daripada RM4.67.
“Harga diesel tanpa subsidi pula diturunkan kepada RM5.17 seliter berbanding RM5.27 seliter sebelum ini.
“Penurunan harga berkenaan dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM),” katanya di sini hari ini.
Katanya walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong, bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menunjukkan tanda pemulihan.
“China telah membenarkan semula eksport bahan api bagi Oktober, manakala Korea Selatan terus membekalkan produk petroleum bertapis ke pasaran serantau.
“Bagaimanapun, konflik di Asia Barat yang semakin meluas, termasuk serangan di Arab Saudi pada minggu lalu, meningkatkan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga petroleum.
“Sehubungan itu, ketidaktentuan harga dijangka berterusan dalam jangka sederhana,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global, dengan perbelanjaan subsidi bahan api dijangka mencecah RM40 bilion tahun depan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027.
“Bagi penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95), harga petrol kekal RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.62 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.63 seliter.
“Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus menikmati harga RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.17 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.07 seliter,” katanya.
Katanya, harga bahan api bersubsidi lain yang dikekalkan ialah RM2.05 seliter bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan RM2.15 seliter bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, kerajaan menyeru rakyat supaya mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, termasuk merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.
“Langkah itu bagi membantu memanjangkan bekalan negara, mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi serta memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi dan terjamin,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Harga RON97, RON95 tanpa subsidi turun 5 sen, diesel turun 10 sen appeared first on Kosmo Online.





