
Pasukan Viper Niza Racing bersedia menghadapi pusingan ketiga Michelin 24H European Series 2026 di Paul Ricard, Perancis pada 5 hingga 7 Jun ini dengan sasaran mengukuhkan kedudukan mereka dalam perebutan kejuaraan keseluruhan kelas GT3-AM.
Selepas dua pusingan, pasukan Malaysia itu kini berkongsi kedudukan teratas carta keseluruhan bersama Hofor Racing dan HAAS RT dengan kutipan 56 mata, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk mencabar gelaran musim ini.
Bagi Pengarah Pasukan dan pemandu utama, Douglas Khoo, fokus utama pasukan adalah untuk terus mengutip mata penting di setiap perlumbaan sambil mengekalkan konsistensi yang menjadi kekuatan mereka sepanjang musim.
Paul Ricard mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Viper Niza Racing. Pada musim lalu, pasukan itu berdepan cabaran besar apabila jentera Mercedes-AMG GT3 EVO mengalami kerosakan serius ketika sesi kelayakan. Namun mereka bangkit dengan semangat luar biasa menggunakan kereta sewaan sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kelapan keseluruhan dan ketiga dalam kelas GT3-AM.
Keputusan tersebut turut menghadiahkan mereka anugerah Spirit of the Race atas semangat juang dan keazaman tinggi yang dipamerkan sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Musim ini, Douglas Khoo mengakui sasaran utama adalah untuk menamatkan kejuaraan dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan selepas hanya menduduki tempat keempat musim lalu. Namun dengan permulaan yang lebih positif pada 2026, peluang untuk mencabar gelaran GT3-AM kini semakin terbuka.

Douglas Khoo akan bergandingan bersama Dominic Ang dan Melvin Moh bagi menghadapi saingan 14 pasukan lain dalam kategori GT3. Sebanyak 31 buah kereta akan mengambil bahagian dalam perlumbaan endurance tersebut yang berlangsung selama 12 jam, dibahagikan kepada dua segmen enam jam pada Sabtu dan Ahad.
Viper Niza Racing menerima sokongan daripada Motul, IWC sebagai jenama jam rasmi, Momentum Autoparts dan SPARCO Italy sepanjang kempen musim ini.






The post Viper Niza Racing Mahu Kukuhkan Kedudukan Pendahulu GT3-AM Di Paul Ricard appeared first on TW Media.

