KOTA BHARU – Bekalan makanan asas negara menjelang Aidilfitri berada dalam keadaan stabil walaupun terdapat sedikit kenaikan harga santan di pasaran ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedang mengambil langkah menstabilkan harga santan di pasaran.
"Untuk santan ada sedikit kenaikan, tetapi ia sedang diusahakan untuk distabilkan.
"Kami (kerajaan) memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan utama termasuk beras, bawang merah dan sebagainya mencukupi," katanya kepada pemberita ketika merasmikan Program Sentuhan Agro Madani: Karnival Cahaya Aidilfitri KPKM 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini pada Jumaat.
Mohamad berkata, setakat ini tiada tanda berlakunya pembelian panik dalam kalangan pengguna menjelang sambutan Aidilfitri.
"Alhamdulillah, untuk Aidilfitri semuanya berada dalam keadaan stabil, insya-ALLAH
"Tidak ada pembelian panik. Pengguna membeli seperti biasa," katanya.
Beliau turut memaklumkan harga barangan di Kota Bharu didapati lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur namun masih berada pada paras normal.
Mengulas mengenai bekalan beras, Mohamad berkata, stok semasa negara berada pada tahap selamat dan mencukupi untuk tempoh antara lima hingga enam bulan.
"Stok beras kita cukup. Kalau berlaku sekali pun sifar pengeluaran dalam negara, kita masih ada bekalan antara lima hingga enam bulan," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, musim kemarau yang melanda ketika ini tidak menjejaskan bekalan makanan negara.
"Setakat ini musim kemarau tidak memberi kesan kepada bekalan makanan," katanya.


