Harga sayur naik hingga RM4 menjelang Aidiladha

LocalFood
25 May 2026 • 11:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harga sayur naik hingga RM4 menjelang Aidiladha
Orang ramai sedang sibuk memilih sayur-sayuran untuk digunakan pada Aidiladha nanti di RTC Tunjong, Kota Bharu pada Isnin. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: Harga sayur naik hingga RM4 menjelang Aidiladha
Baihaki dan Norasliha
Image from: Harga sayur naik hingga RM4 menjelang Aidiladha
Peniaga di RTC Tunjong, Kota Bharu tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke gerai bagi mendapatkan bekalan sayur untuk digunakan pada Aidiladha nanti. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Bahang sambutan Aidiladha mula dirasai apabila harga beberapa jenis sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini didakwa meningkat antara RM1 hingga RM4 sekilogram sejak minggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati kenaikan melibatkan beberapa bahan basah utama seperti lada hijau besar, limau nipis, tomato, timun, kacang panjang dan serai susulan permintaan tinggi menjelang musim perayaan selain faktor cuaca kemarau yang menjejaskan bekalan.

Wakil peniaga sayur, Norasliha Mat, 47, berkata, harga lada hijau besar antara yang paling ketara meningkat apabila kini dijual antara RM25 hingga RM28 sekilogram berbanding sekitar RM20 sebelum ini.

Menurut dia, kenaikan tersebut berlaku sejak dua hari lalu akibat kekurangan bekalan di pasaran.

"Limau nipis pula sudah lama naik harga iaitu sejak bulan lepas lagi daripada RM8 kepada RM10 sekilogram.

"Tomato sebelum ini sekitar RM5 sekilogram tetapi sekarang naik kepada RM7 sekilogram," katanya ketika ditemui di RTC Tunjong di sini pada Isnin.

Bagaimanapun ujarnya, harga cili merah dan cili hijau menunjukkan sedikit penurunan apabila kini dijual RM15 sekilogram berbanding lebih RM20 sebelum ini.

"Biasanya bila dekat Aidiladha memang permintaan tinggi. Tahun ini keadaan lebih terasa sebab cuaca panas dan kemarau menyebabkan hasil sayur terjejas," katanya.

**media[3531984]**

Sementara itu, seorang lagi peniaga sayur, Siti Rohani Ismail, 30, berkata, harga lada hijau besar kini mencecah sehingga RM30 sekilogram berbanding sekitar RM18 sebelum ini.

Menurut dia, kenaikan tersebut sudah berlaku sejak seminggu lalu dan dijangka berterusan sehingga musim perayaan.

"Selain lada hijau besar, timun, kacang panjang dan serai pun naik harga.

"Setiap kali musim perayaan memang permintaan tinggi tetapi kali ini bekalan pula kurang. Faktor cuaca antara punca utama," katanya.

**media[3531980]**

Dalam pada itu, pembeli, Baihaki Zakaria, 39, memberitahu, kenaikan harga yang berlaku masih pada tahap munasabah dan tidak membebankan pengguna.

Kata guru tahfiz itu, sebagai pengunjung tetap RTC Tunjong, harga barangan di situ masih dianggap berbaloi berbanding tempat lain.

"Kenaikan itu ada tetapi biasalah bila musim perayaan. Bagi saya masih lagi berpatutan.

"Saya selalu datang beli barang basah untuk kegunaan sendiri dan juga pusat tahfiz. Di sini banyak pilihan dan semua yang kami mahu ada," katanya.