KOTA BHARU - Sindiket pecah rumah siang hari di sekitar bandar di sini berjaya ditumpaskan selepas tiga lelaki dicekup di sebuah rumah di Jalan Perol di sini pada 10 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua suspek berusia 28 hingga 36 tahun itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian pecah rumah melibatkan kerugian RM30,000 pada 28 April lalu.
"Sebelum itu sebanyak 13 kes pecah rumah dilaporkan berlaku melibatkan kerugian lebih RM400,000.
"Modus operandi mereka ialah melakukan perbuatan terbabit pada waktu siang hari ketika mangsa keluar bekerja," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.
**media[3524474]**
Menurut beliau, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan termasuk 18 utas barang kemas, sebuah kereta, jam tangan dan telefon bimbit yang dipercayai hasil daripada jenayah pecah rumah.
Ujarnya, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek termasuk seorang lelaki berasal dari Burma yang merupakan Pemastautin Tetap (PR) melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan rumah mangsa kira-kira jam 8 pagi untuk memastikan rumah kosong.
Mohd Yusoff memberitahu, kebanyakan kes pecah rumah itu dilakukan pada waktu siang ketika mangsa keluar bekerja.
"Semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan 14 kes dadah dan 16 kes jenayah.
"Ujian saringan ujian air kencing juga mendapati ketiga-tiga lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Menurut beliau, penangkapan kesemua suspek yang dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu itu berjaya menyelesaikan sebanyak 13 kes pecah rumah di sekitar daerah ini.
Ujarnya, ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman tujuh hari bermula 13 Mei lalu hingga Selasa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.





