Harga sebagai isyarat agihan sumber

LocalBusiness & Finance
13 Apr 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harga sebagai isyarat agihan sumber
Situasi kenaikan harga bahan api sekarang ini dilihat merunsingkan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.. Gambar hiasan Bernama

SITUASI kenaikan harga bahan api sekarang ini dilihat merunsingkan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.

Namun isu ini bukanlah unik di negara kita sahaja kerana lonjakan harga bahan api yang tinggi ini juga dirasai oleh semua umat manusia di dunia ini.

Puncanya adalah peperangan di Iran yang telah memberi kesan rantaian bekalan bahan api global.

Ramai yang mengeluh dan risau apakah keadaan ini akan berterusan untuk suatu tempoh yang lama.

Namun, pihak kerajaan saban hari dan minggu sentiasa berkongsi maklumat tentang kedudukan semasa bekalan bahan api, jumlah subsidi yang diperuntukkan serta sentiasa berusaha untuk mengurangkan impak daripada kenaikan harga bahan api ini.

Justeru, apa yang dapat kita perhatikan dalam episod semasa ini adalah kenaikan harga bahan api dan bagaimana ia boleh merubah kedudukan kewangan kita.

Secara tidak langsung, kita semua sedang berfikir bagaimana kita mahu mengubah polar perbelanjaan kita supaya kesan ini dapat kita kurangkan atau minimakan.

Jadi, harga bahan api itu sendiri sedang memberi isyarat kepada kita bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi menghadapi keadaan ini. Mungkin ada yang berfikir untuk menukar kepada kenderaan elektrik (EV).

Ada yang melihat Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai solusi supaya perbelanjaan bahan api dikurangkan.

Pilihan untuk menukar kepada sumber tenaga solar juga boleh membantu menjimatkan bil bulanan elektrik.

Namun, sebahagian besar daripada rakyat masih menikmati subsidi bahan api terutamanya RON95.

Meskipun jumlah liter yang disubsidi telah dikurangkan kepada 200 liter sebulan, ia masih lagi tinggi daripada purata penggunaan iaitu sekitar 100 liter sebulan.

Dalam hal ini, mungkin isyarat daripada harga masih lagi belum dirasai sepenuhnya kerana ramai yang masih menikmati subsidi.

Mungkin disebabkan perkara itu, jalan-jalan raya masih lagi sibuk terutama dalam bulan Syawal yang mana sanak saudara akan datang berkunjung dan amalan rumah terbuka masih meriah dalam minggu terakhir bulan lebaran ini.

Persoalan yang mahu ditimbulkan di sini adalah harga dan isyarat yang disampaikan.

Apa yang dapat diperhatikan adalah subsidi itu telah mengganggu isyarat harga kerana harga bahan api diletakkan rendah berbanding harga pasaran.

Maka berlakulah penggunaan bahan api yang berlebihan tanpa kita sedari kerana isyarat daripada harga itu telah ditumpulkan dengan subsidi. Sebagai contoh, penggunaan bahan api pada tahun 2025 adalah 800,000 tong sehari dan ia terus meningkat saban tahun.

Manakala jumlah kenderaan yang berdaftar setakat 2024 adalah 38 juta berbanding 25 juta pada tahun 2014. Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun, jumlah kenderaan yang terdiri sebahagian besarnya adalah motor dan kereta telah bertambah lebih 10 juta kenderaan.

Manakala subsidi bahan api juga meningkat daripada RM20.4 bilion kepada RM31.2 bilion pada tahun 2024.

Oleh itu, isyarat harga bahan api telah ditumpulkan oleh subsidi yang menyebabkan penggunaan yang berlebihan.

Apabila sekarang ini harga bahan api mula melonjak dan subsidi terpaksa diubah walaupun secara beransur, reaksi di kalangan rakyat adalah rata-ratanya kurang senang.

Secara idealnya, harga bahan api ini sebaiknya diapungkan agar penggunaan akan diselaraskan dengan perubahan harga.

Tetapi sekarang ini bukanlah masanya untuk membuat perubahan drastik kerana kejutan ekonomi ini berpotensi untuk memperlahankan pertumbuhan negara.

Namun, apa yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk menceritakan hakikat dinamika ini dan perubahan perlu dilakukan apabila keadaan sudah pulih nanti.

*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad