
TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memastikan tidak ada komuniti di pedalaman termasuk pulau terpinggir daripada menerima barangan keperluan asas pada harga setara dengan kawasan lain.
Komitmen itu dilaksanakan melalui Program Pengedaran Barang Perlu (PPBP) sejak 2009 melibatkan bekalan tujuh barangan bersubsidi seperti beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak sawit tulen, gas petroleum cecair (LPG), petrol Ron95 dan diesel.
Timbalan Menterinya Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata selaras dengan matlamat untuk memelihara kebajikan rakyat pedalaman dan pulau KPDN sekali lagi memperbaharui tempoh lanjutan pelaksanaan PPBP dari 2025 hingga 2027.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Kerajaan memperuntukkan RM202.5 juta untuk pelaksanaan PPBP bagi tempoh Mei 2025 hingga April 2027 di seluruh Sabah termasuk lebih RM8 juta kepada daerah Tawau.
“Langkah itu bagi memastikan sebanyak 607 Sistem Titik Penjualan (POS) di 228 kawasan pengedaran di seluruh negeri ini menerima manfaat untuk dinikmati hampir setengah juta penduduk termasuk lebih 29,000 komuniti di daerah ini,” katanya selepas membuat lawatan kerja ke Pulau Sebatik pada Ahad.
Fuziah berkata dalam masa sama sebanyak empat zon utama di bawah KPDN Tawau iaitu Sebatik, Balung, Kalabakan dan Apas dikenalpasti sebagai lokasi tumpuan yang melibatkan 40 POS aktif untuk penghantaran barangan keperluan setiap bulan.
Menurut beliau kuota agihan bulanan menerusi program ini meliputi 94,605 kg beras putih, 23,888 kg gula putih, 10,041 kg tepung gandum,16,966 kg minyak masak, 5,800 tong LPG, 68,800 liter petrol Ron95 dan 77,200 liter diesel.
“Program ini turut memberikan subsidi kepada syarikat pengangkutan terpilih untuk mengedarkan barangan keperluan dan kawalan dari pusat bekalan ke POS-POS di kawasan pedalaman dan pulau.
“Pelaksanaan PPBP sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani dalam membantu rakyat khususnya di kawasan pedalaman yang berdepan cabaran logistik dan kos pengangkutan tinggi,” katanya.
Beliau berkata Sabah adalah sebahagian daripada nadi Madani yang sentiasa diberi perhatian dalam agenda pembangunan negara dengan Tawau menjadi bukti nyata semua komuniti disantuni oleh kementerian.
Sehubungan itu beliau meminta kerjasama padu semua pihak seperti pengangkut, pemborong serta pemimpin komuniti bagi memastikan pelaksanaan PPBP berjalan lancar, efisien dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Sementara itu menyentuh mengenai lawatan kerjanya ke Kampung Pantai Mas-Mas dan Sungai Tongkang Sebatik pula beliau akui melihat sendiri kesukaran akses perhubungan atau jaringan pengangkutan di kawasan-kawasan terbabit.
Pada masa sama beliau teruja selepas mendapati program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) turut mempunyai terminal di Kampung Sungai Tongkang yang boleh diakses penduduk pulau melalui kaedah pembelian barangan menggunakan MyKad.
Dalam pada itu menjawab soalan berhubung isu ketirisan beliau memaklumkan setakat ini pihaknya tidak menerima maklumat berkaitan namun menyedari kedudukan Sebatik yang terdedah dengan isu terbabit kerana berada di kawasan sempadan.



