Harga telur dijangka terus naik susulan penutupan ladang, peningkatan kos makanan ayam – HLIB

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga telur dijangka terus naik susulan penutupan ladang, peningkatan kos makanan ayam – HLIB Image from: Harga telur dijangka terus naik susulan penutupan ladang, peningkatan kos makanan ayam – HLIB liza07/10/2026 - 12:10 Gambar QL Resources Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt – Harga telur di Malaysia dijangka terus meningkat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang susulan kekangan bekalan, gangguan cuaca dan penutupan beberapa ladang, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran telur kini mula berubah selepas beberapa tahun berdepan lebihan bekalan dan harga di peringkat ladang yang rendah susulan penarikan sepenuhnya subsidi kerajaan.

 

“Perubahan pasaran itu sudah dapat dilihat melalui peningkatan harga telur Gred C yang pulih daripada sekitar 20 sen sebiji pada April dan Mei kepada kira-kira 33 sen pada akhir Jun sebelum melepasi 40 sen pada Ogos.

 

“Kenaikan harga itu didorong antara lain oleh penutupan ladang di Perak serta peningkatan kos makanan ternakan, manakala harga jagung dan makanan kacang soya masing-masing meningkat lebih 10% setakat tahun ini,” kata HLIB dalam nota kajiannya.

 

Pengurusan QL Resources Bhd menjangkakan harga telur akan terus meningkat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, namun tekanan kos makanan ternakan turut menjadi faktor yang perlu diberi perhatian.

 

El Nino beri kesan berbeza

Dalam masa sama, keadaan El Nino memberi sedikit tekanan kepada pengeluaran telur apabila cuaca panas menjejaskan produktiviti ayam penelur, terutama di ladang terbuka.

 

Bagaimanapun, kesan itu tidak sepenuhnya negatif kepada QL kerana keadaan cuaca berkenaan memberi manfaat kepada bahagian pembuatan produk marin (MPM), khususnya apabila bekalan makanan ikan global semakin terhad.

 

Hasil MPM meningkat 18.2% tahun ke tahun, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 51.5%, dengan sebahagian besar peningkatan keuntungan kira-kira RM30 juta disumbangkan oleh prestasi makanan ikan yang lebih baik.

 

MPM dijangka jadi pemacu utama

Harga makanan ikan pada Julai pula kekal kira-kira 11% lebih tinggi berbanding purata yang direkodkan QL pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), yang dijangka menyokong harga jualan purata lebih tinggi pada suku kedua (2QFY27).

 

HLIB berkata dengan MPM menyumbang 38% kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan, bahagian itu dijangka menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi prestasi pendapatan QL bagi FY27.

 

Firma itu menjangkakan dua suku tahun akan datang menjadi tempoh kemuncak bagi kitaran semasa, disokong oleh peningkatan hasil tangkapan ikan secara bermusim.

 

“Petunjuk utama ialah musim penangkapan ikan kedua di Peru pada November, yang akan menentukan sama ada kekangan bekalan berlanjutan sehingga FY28 atau mula reda.

 

“Kesan berbeza El Nino terhadap dua perniagaan utama QL mewujudkan keadaan yang memihak kepada kumpulan itu kerana bahagian yang mendapat manfaat daripada keadaan tersebut kini mempunyai sumbangan keuntungan lebih besar berbanding bahagian yang terjejas,” katanyaa.

 

MPM dan perniagaan ternakan bersepadu (ILF) masing-masing menyumbang 38% dan 39% kepada keuntungan sebelum cukai QL pada FY26. Namun, pada 1QFY27, sumbangan MPM meningkat kepada kira-kira 54%, manakala ILF susut kepada 32%.

 

HLIB mengekalkan saranan “Beli” terhadap QL dengan harga sasaran RM5.10, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan sebanyak 38 kali, iaitu purata lima tahun sebelum pandemik, yang digunakan terhadap anggaran pendapatan FY27. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved