
PETALING JAYA – Harga makanan yang didakwa dijual di sebuah acara berkaitan Formula Satu (F1) di Sepang mencuri perhatian apabila seorang pengunjung memaklumkan terpaksa berbelanja RM130 hanya untuk makan tengah hari.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna @starlingtrading memuat naik gambar beberapa makanan dan minuman yang dibeli berserta harga masing-masing dengan kapsyen, ‘Makan tengah hari di Sepang, F1 Bahrain Grand Prix’.
Berdasarkan gambar tersebut, satu hidangan nasi bersama lauk dan sayur berharga RM50, manakala bekas berisi makanan ringan pula dijual pada harga RM25.
Secawan minuman pula berharga RM25, sementara satu bekas potongan buah tembikai dikenakan harga RM30, menjadikan keseluruhan perbelanjaan makan tengah hari itu sebanyak RM130.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata terkejut dengan harga makanan berkenaan, malah ada yang berseloroh supaya pengunjung menganggap mereka sedang berbelanja menggunakan mata wang Bahrain.
“Kalau ikut mata wang Bahrain, air itu baru dua dinar Bahrain (BHD) agaknya. Jadi petuanya, jangan kira dalam Ringgit Malaysia.
“Anggap sahaja kalau tengok F1 dekat luar negara kena bayar dua kali ganda supaya hati kekal tenang,” seloroh @kat.ben16 dan @mnbnhbaba.
Ada juga pengguna yang menganggap harga tersebut seolah-olah menggunakan kadar mata wang Bahrain sebelum ditukarkan kepada Ringgit Malaysia.
“Dah macam bayar guna mata wang Bahrain kemudian tukar kepada Ringgit Malaysia. Murah dik, baru BHD12. Esok-esok jangan tukar mata wang, bayar sahaja. Anda perlukan tenaga!” seloroh @natasya.
Seorang lagi pengguna, @haziqguetta turut berseloroh bahawa sekiranya perbelanjaan pada kadar sama berterusan selama tiga hari, hampir RM500 mungkin diperlukan untuk makanan sahaja.
Bagaimanapun, terdapat pengguna yang memaklumkan pilihan makanan lebih murah turut disediakan di kawasan lain pada acara berkenaan.
“Dekat kawasan G Hillstand ada gerai makanan Madani, nasi dengan ayam butter milk RM10. Jadi mungkin kena cari kawasan lain kalau mahu pilihan yang lebih murah,” komen @anastasiasalleh1605.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Harga makanan di F1, kalau tengok RM130 tu baru BHD12.07’ appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Dugaan betul berbaris panjang naik bas balik F1](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/1294b75d-7e05-46f6-95e5-58db1a5efb2a-1024x766.jpeg)



