Harga tiket penerbangan mahal berisiko jejaskan daya saing pelancongan Sabah menjelang 2027

3 Sep 2026 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga tiket penerbangan mahal berisiko jejaskan daya saing pelancongan Sabah menjelang 2027 Image from: Harga tiket penerbangan mahal berisiko jejaskan daya saing pelancongan Sabah menjelang 2027 liza03/09/2026 - 12:55 Pulau Mabul Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Sept – Harga tiket penerbangan yang semakin kurang kompetitif serta peningkatan kos operasi berisiko menyebabkan pelancong yang sensitif terhadap harga memilih destinasi negara jiran berbanding Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

 

Ketika ini, jurang harga antara penerbangan domestik ke Sabah dan penerbangan antarabangsa ke beberapa destinasi serantau semakin mengecil.

 

Bekas Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Sabah, Mohd Azlan Saleh Abd Salam berkata, harga tiket pergi balik kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu kini sekitar RM471, hanya RM16 lebih murah berbanding penerbangan ke Jakarta yang berharga kira-kira RM487.

 

 

 

 

 

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan Sabah perlu memastikan akses penerbangan yang mampu milik bagi menyokong usaha promosi pelancongan negeri secara berkesan.

 

“Promosi yang kukuh perlu disertakan dengan harga penerbangan yang berpatutan kerana tambang yang mahal terutama ketika musim puncak, boleh mendorong pelancong memilih destinasi yang menawarkan nilai lebih baik seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Harga Penerbangan Jadi Faktor Persaingan

Mohd Azlan berkata, tarikan sesebuah destinasi sahaja tidak lagi mencukupi dalam memastikan sesebuah negeri mampu bersaing untuk menarik kehadiran pelancong.

 

Sebaliknya, beliau berkata persaingan industri pelancongan kini turut ditentukan oleh kemudahan akses, harga, keselesaan serta nilai keseluruhan yang diterima oleh pelancong.

 

“Pada masa sama, pengusaha pelancongan tempatan turut berdepan tekanan akibat peningkatan kos bahan api yang boleh memaksa mereka menaikkan harga perkhidmatan dan pakej pelancongan.

 

“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi bahan api secara bersasar kepada pengusaha pelancongan yang mempunyai lesen sah,” katanya.

 

Tambahnya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan pemain industri sebelum melaksanakan dasar berkaitan kos yang boleh memberi kesan kepada operasi sektor pelancongan.

 

Pelancongan Sabah Sumbang RM13.7 Bilion

Sektor pelancongan Sabah menyumbang sebanyak RM13.7 bilion kepada ekonomi negeri pada 2024, bersamaan kira-kira 12% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sabah.

 

 

 

 

 

 

Industri itu juga menyokong hampir 387,600 peluang pekerjaan, menunjukkan peranannya yang penting kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat di negeri berkenaan.

 

Justeru, Mohd Azlan berkata isu kos perjalanan dan operasi perlu diberi perhatian bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi yang menarik serta berdaya saing menjelang Tahun Melawat Sabah 2027. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved