GERAKAN pekerja antarabangsa yang memperjuangkan hak buruh bermula selepas peristiwa Haymarket Affair di Chicago, Amerika Syarikat (AS) pada 1886.
Demonstrasi itu menuntut waktu kerja lapan jam sehari dan ia menjadi simbol perjuangan pekerja di seluruh dunia.
Tetapi disebabkan peristiwa itu, AS tidak sambut Hari Buruh atau Hari Pekerja pada 1 Mei kerana tarikh itu dikaitkan dengan gerakan buruh radikal lalu mereka memilih tarikh yang lebih neutral iaitu pada bulan September.
Di Malaysia, Hari Pekerja mula diiktiraf dan disambut sebagai cuti umum sejak 1972, bagi menghargai sumbangan golongan pekerja kepada pembangunan negara.
Kalau kita imbas sejarah negara iaitu pada zaman penjajahan British, tenaga buruh negara terdiri dari sektor perladangan getah, perlombongan bijih timah, pelabuhan dan kereta api.
Pada masa itu, pekerja-pekerja dibelenggu oleh kadar gaji yang rendah, waktu kerja yang panjang dan kebajikan yang sangat terhad.
Keadaan itu akhirnya mencetuskan penubuhan kesatuan sekerja dan menyebabkan beberapa siri mogok besar berlaku antara 1930-an hingga 1940-an.
Dekad-dekad seterusnya menyaksikan gerakan buruh lebih tersusun, namun berdepan dengan tekanan politik.
Dalam sejarah negara, Presiden Pan-Malayan Federation of Trade Unions, SA Ganapathy menjadi simbol perjuangan buruh, namun dihukum gantung pada 1949.
Seorang lagi ialah P Veerasenan iaitu pemimpin kesatuan buruh yang aktif memperjuangkan hak pekerja ladang, turut dibunuh askar Gurka pada tahun yang sama.
Gerakan buruh pada ketika itu sering dikaitkan dengan pengaruh ideologi kiri, menyebabkan banyak kesatuan diharamkan semasa Darurat Malaya pada 1948 hingga 1960.
Selepas merdeka, gerakan buruh menjadi lebih formal dan dikawal melalui undang-undang. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ditubuhkan pada 1949 dan sehingga kini menjadi payung utama kesatuan sekerja di Malaysia.
Mereka memainkan peranan penting melakukan rundingan gaji dan syarat kerja, mewakili pekerja dalam polisi kerajaan, menyuarakan isu kos sara hidup serta kebajikan - perjuangan yang diteruskan hingga ke hari ini.
Berdasarkan rekod terdapat seramai 17 juta tenaga buruh di negara ini dengan 16 juta sedang aktif bekerja.
Golongan profesional dan berkemahiran tinggi dianggarkan seramai 5.5 juta orang.
Sementara pekerja berkemahiran rendah atau separa mahir adalah yang paling tinggi iaitu 11 juta orang.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia masih belum lagi menjadi sebuah negara dengan ekonomi yang berasaskan kepada kemahiran tinggi.
Selain itu, cabaran paling besar negara adalah memastikan kebajikan golongan pekerja gig terpelihara. Dipercayai terdapat seramai 3.45 juta rakyat terdiri dari pekerja kategori tersebut.
Mereka ini terdiri daripada pekerja sendiri dan bekerja dalam industri p-hailing dan e-hailing atau p-hailing.
Sehubungan itu, sempena Hari Pekerja yang disambut meriah semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tiga 'hadiah' untuk pekerja di negara ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
Pertama ialah Elaun Pasca Cuti Bersalin iaitu bantuan kewangan sehingga 30 hari selepas cuti bersalin, sebanyak 80 peratus daripada gaji dan ia akan memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.
Kedua ialah perluasan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada rakyat Malaysia bekerja di luar negara, bermula pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura, dengan pindaan undang-undang diperlukan.
Ketiga, pelaksanaan Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 (PACE) melebihi RM710 juta untuk latihan, perlindungan sosial Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), pengupayaan gig dan geran latihan industri.
Semoga pendekatan yang bakal dilaksanakan itu akan dapat membantu melindungi pekerja Malaysia dalam mengharungi cabaran yang lebih getir dan besar dalam masa terdekat.
Hargailah jasa dan pengorbanan pekerja di Malaysia.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

