Hari Bertemu Pelanggan setiap bulan: Aduan penduduk keutamaaan DBKK

5 Oct 2025 • 11:32 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Lampu jalan rosak, longkang tersumbat, anjing liar, peniaga tanpa lesen dan kenderaan terbiar antara isu utama dibangkitkan penduduk ketika Hari Bertemu Pelanggan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada Sabtu.

Mayor Datuk Seri Sabin Samitah berkata banyak kelewatan dalam pembaikan lampu jalan berpunca daripada kecurian kabel bawah tanah yang mengambil masa untuk diganti.

“Apabila kabel dicuri proses penggantian mengambil masa. Sesetengah kabel masih di bawah tanggungjawab agensi kerajaan lain.

“Bagi kawasan kritikal kami cuba memasang lampu solar kerana terdapat lokasi yang sesuai untuk pemasangan sebegitu.” katanya.

Sabin berkata DBKK juga mengambil tindakan lebih tegas dalam memastikan kontraktor membersihkan longkang dengan betul khususnya di kawasan perumahan bawah seliaan DBKK serta meneruskan kerja pemotongan rumput secara berkala.

Menurutnya terdapat juga longkang tersumbat yang bukan di bawah bidang kuasa DBKK namun pihaknya memaklumkan perkara itu kepada jabatan berkaitan.

Dalam pada itu Sabin turut menyatakan bahawa masalah anjing liar masih menjadi kebimbangan.

“Kami sedang mengambil tindakan menangkap anjing-anjing ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menggalakkan pemilik haiwan untuk mengebiri haiwan peliharaan mereka,” ujarnya.

Beliau menambah DBKK juga menerima aduan berhubung peniaga tanpa lesen yang beroperasi secara haram dan pihaknya bekerjasama dengan agensi kerajaan lain terutama apabila tanah berkenaan milik agensi tersebut.

Satu lagi aduan kerap diterima ialah mengenai kenderaan terbiar dan parkir berganda di kawasan perumahan yang menghalang lori sampah daripada masuk sehingga menyebabkan kelewatan kutipan sisa.

“Apabila lori kami tidak dapat masuk mereka perlu ke kawasan lain dahulu. Apabila kembali semula biasanya sudah tengah hari atau petang dan sampah mungkin sudah berselerak,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa DBKK memandang serius aduan-aduan ini dan akan terus meningkatkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyediakan perkhidmatan bandar yang lebih baik.

Sementara itu Sabin memaklumkan DBKK akan mula mengadakan Hari Bertemu Pelanggan setiap bulan bagi memperkukuh hubungan dengan penduduk bandar dan meningkatkan keberkesanan penyelesaian aduan awam.

“Inisiatif ini tidak diadakan setiap bulan  sebelum ini namun kita akan ubah agar dijalankan secara tetap di hadapan bangunan DBKK.

“Langkah ini diambil susulan maklum balas positif daripada orang ramai yang menghargai peluang untuk bersemuka dengan pegawai DBKK bagi menyuarakan aduan dan cadangan.

“Setakat ini kami telah menerima 468 pengunjung yang berdaftar dan bertemu dengan saya serta pegawai kanan termasuk Pengarah dan Timbalan Pengarah malah jika termasuk kakitangan jumlah kehadiran mencecah kira-kira 500 orang,” katanya.

Sabin memaklumkan majoriti isu yang dibangkitkan sebenarnya sudah disalurkan kepada DBKK melalui talian hotline dan kerosakan kecil diberi perhatian segera.

Bagaimanapun beliau mengakui kadar keseluruhan penyelesaian aduan masih sekitar 75 peratus manakala baki 25 peratus melibatkan kes di bawah agensi lain atau memerlukan peruntukan lebih besar.

“Bagi kes yang memerlukan bajet besar kami menanganinya secara berperingkat. Sebab itu ada aduan yang nampak seperti belum diselesaikan,” jelasnya.