
Kota Kinabalu: Penduduk bandar raya ini bakal menikmati era baharu pengangkutan awam apabila program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) yang dijenamakan semula sebagai BAS.MY mula diperkenalkan secara berfasa di Kota Kinabalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM17.6 juta setahun, atau RM88 juta bagi tempoh lima tahun, menjadikan Kota Kinabalu bandar terbaharu selepas Kangar, Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Melaka, Kota Setar, Kota Bharu, Kuantan dan Kuching yang menyertai sistem itu.
“Kami sudah menghantar tiga bas ke Kota Kinabalu dan perjalanan percuma akan bermula pada Oktober di laluan terpilih sekitar bandar.
“Menjelang awal tahun depan, semua 48 bas berwarna merah jambu akan beroperasi merangkumi lapan laluan, termasuk kawasan pinggir bandar seperti Menggatal,” katanya pada majlis prapelancaran BAS.MY di KK Sentral, Sabtu.
Bas berkenaan akan beroperasi setiap hari dari 5.30 pagi hingga 11 malam dengan kekerapan setiap 30 hingga 60 minit. Ia dilengkapi sistem penjejakan GPS, pembayaran tanpa tunai, CCTV serta kemudahan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Loke menegaskan perbezaan antara BAS.MY dan bas mini swasta.
“Pengusaha swasta biasanya menunggu sehingga bas penuh sebelum bergerak, tetapi BAS.MY akan beroperasi mengikut jadual tetap tanpa mengira jumlah penumpang. Operator tidak menanggung risiko hasil kerana mereka dibayar berdasarkan jadual, bukan jumlah penumpang,” katanya.
Bagi mengurangkan kos perjalanan, kerajaan memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had 30 Hari BAS.MY berharga RM50. Selain itu, Kad Konsesi BAS.MY menawarkan perjalanan percuma untuk warga emas, pemegang kad OKU serta pelajar sekolah rendah hingga universiti dengan bayaran pendaftaran sekali sahaja sebanyak RM10.
“Kiosk akan disediakan di lokasi awam termasuk KK Sentral, manakala pejabat wakil rakyat juga boleh membantu pendaftaran,” kata Loke sambil menambah bahawa kad itu sah seumur hidup selepas dikeluarkan.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap penyelaras pengangkutan awam Kota Kinabalu, Datuk Phoong Jin Zhe, menyifatkan inisiatif itu sebagai sesuatu yang telah lama ditunggu rakyat.
“Bagi pihak Ketua Menteri, saya gembira perkhidmatan ini akhirnya diperkenalkan, sekali gus menyediakan pilihan pengangkutan moden, selamat dan mampu milik untuk Kota Kinabalu,” katanya.
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan memantau perkhidmatan itu melalui GPS bagi memastikan ketepatan masa dan kebolehpercayaan, dengan penalti dikenakan kepada operator yang gagal memenuhi piawaian prestasi utama.
Operator tempatan, Jaguh Bayu Sdn Bhd, telah dilantik untuk mengendalikan perkhidmatan di Kota Kinabalu.
Turut hadir ialah Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Sabin Samitah, Adun Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin, Pengarah LPKP Sabah Dairin Unsir, Pengarah Eksekutif Jaguh Bayu Datin Fauzirah Zainun, wakil DBKK, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, serta pegawai Jaguh Bayu.


