Hari Kanak-kanak: Meraikan Kegembiraan, Menyemai Nilai Kemanusiaan

Family & Parenting
20 Nov 2026 • 11:30 AM MYT
Aishah Jamal
Aishah Jamal

Collecting thoughts, questioning things, and putting them into words.

Image from: Hari Kanak-kanak: Meraikan Kegembiraan, Menyemai Nilai Kemanusiaan
Murid-murid kelas 5T bersama guru kelas mereka semasa sambutan Hari Kanak-kanak

Sudah semestinya ada momen menarik yang berlaku apabila tibanya sambutan Hari Kanak-kanak di sekolah. Suasana yang biasanya dipenuhi dengan rutin pembelajaran bertukar menjadi lebih meriah. Wajah-wajah ceria, suara gelak tawa dan keterujaan murid-murid jelas terasa sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke kawasan sekolah.

Sebagai seorang guru, antara perkara yang saya nantikan ialah membaca karangan yang ditulis oleh murid-murid tentang pengalaman mereka menyambut Hari Kanak-kanak terutama murid-murid kelas 5T saya.

Ada yang bercerita tentang persembahan menarik yang mereka saksikan. Ada yang menulis tentang makanan istimewa yang dibawa dari rumah. Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman menikmati makanan bersama rakan-rakan sekelas.

Di sebalik cerita-cerita ringkas itu, ada satu perkara yang turut menjadi rutin tatkala berlangsungnya sambutan Hari Kanak-kanak.

Kisah tentang berkongsi.

Di sekolah, guru-guru yang bukan guru kelas mempunyai kebiasaan untuk berjalan dari satu kelas ke satu kelas yang lain bagi melihat kemeriahan sambutan Hari Kanak-kanak. Setiap kelas mempunyai suasana tersendiri. Ada yang ralit menikmati makanan. Ada juga yang rancak berbual. Ada kelas turut bermain permainan yang menyeronokkan. Mereka saling membantu antara satu sama lain dalam kelas.

Guru kelas dan murid-murid turut mengajak kami menikmati makanan yang mereka sediakan. Mereka memberi kami sepotong kek, kuih-muih, nasi lemak, makanan ringan dan pelbagai lagi jenis makanan.

Mereka tidak sekadar menikmati makanan bersama rakan sekelas, tetapi turut mengingati guru-guru lain yang singgah ke kelas mereka.

Bagi saya, inilah antara momen manis yang menjadikan sambutan Hari Kanak-kanak begitu istimewa.

Mengapa Hari Kanak-kanak Perlu Diraikan?

1. Menghargai keindahan zaman kanak-kanak

Zaman kanak-kanak merupakan fasa kehidupan yang tidak akan berulang. Inilah masanya mereka bebas meneroka, bermain, mencuba perkara baharu dan membina imaginasi. Sambutan seperti ini memberikan peluang kepada murid untuk meneroka zaman persekolahan dengan penuh kegembiraan.

2. Mencipta kenangan yang akan dibawa hingga dewasa

Momen-momen manis ini menjadi kenangan indah yang pernah berlaku semasa zaman persekolahan. Persembahan yang mereka lihat, makanan yang lazat, permainan yang menyeronokkan.

3. Memupuk amalan berkongsi dan saling menghargai

Setiap murid membawa makanan dari rumah yang disediakan oleh ibu bapa. Mereka berkongsi makanan bersama rakan-rakan dan guru-guru. Makanan tersebut diagihkan dengan adil dan setiap seorang akan dapat merasa makanan yang dibawa oleh setiap murid. Nilai-nilai murni seperti pemurah, prihatin dan bertimbang rasa dapat disemai dalam diri setiap murid.

4. Mengeratkan hubungan antara guru dengan murid

Guru memainkan peranan sebagai pendidik dan pembimbing. Guru juga perlu memahami dan memberi dorongan kepada murid untuk menggapai kejayaan. Hal ini membantu membina hubungan yang lebih mesra dan mewujudkan persekitaran sekolah yang positif.

5. Memberikan ruang kepada setiap kanak-kanak untuk diraikan

Setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan tersendiri. Ada yang berbakat dalam nyanyian, tarian dan persembahan. Ada yang lebih gemar bermain, melukis atau sekadar menikmati suasana bersama rakan-rakan. Hari Kanak-kanak mengingatkan kita bahawa setiap anak mempunyai potensi dan keunikan yang wajar dihargai.

Kegembiraan yang Lebih Bermakna Apabila Dikongsi

Pendidikan bukan sekadar tentang pencapaian akademik, gred peperiksaan atau penguasaan sesuatu kemahiran. Pendidikan juga tentang membentuk manusia yang tahu menghargai, menghormati dan menyayangi orang di sekeliling mereka.

Sambutan Hari Kanak-kanak menjadi ruang untuk kita menghargai kehadiran mereka, meraikan keunikan mereka dan menyemai nilai-nilai murni dalam diri mereka yang akan dibawa hingga dewasa.


Aishah Jamal (aishahjamal.safmedia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved