Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026: Kanak-Kanak Berhak Didengari, Dilindungi Dan Diperkasa Untuk Membentuk Masa Depan Mereka

LocalFamily & Parenting
21 Nov 2026 • 1:03 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026: Kanak-Kanak Berhak Didengari, Dilindungi Dan Diperkasa Untuk Membentuk Masa Depan Mereka

KUALA LUMPUR (20 NOVEMBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), bersama-sama kanak-kanak, keluarga dan masyarakat di Malaysia serta seluruh dunia meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026.

Tema sambutan tahun ini, ‘Hari Saya. Hak Saya. Masa Depan Saya.’, menegaskan bahawa kanak-kanak merupakan pemegang hak yang suara, pandangan dan aspirasi mereka perlu diiktiraf serta dihormati.

Tema ini turut memperkukuh tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, inklusif dan menyokong perkembangan mereka, di samping berpeluang menikmati hak serta mengambil bahagian secara bermakna dalam keputusan yang mempengaruhi kehidupan dan masa depan mereka.

CC mengiktiraf beberapa perkembangan positif di Malaysia sepanjang tahun 2026, termasuk usaha beberapa negeri untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun, penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 [Akta 876] dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, penubuhan Tribunal Antibuli serta pengenalan Majlis Pemimpin Murid Malaysia (MPMM) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkukuh penyertaan kanak-kanak.

Image from: Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026: Kanak-Kanak Berhak Didengari, Dilindungi Dan Diperkasa Untuk Membentuk Masa Depan Mereka

CC turut menyambut baik pengenalan Dasar Perlindungan Murid oleh KPM sebagai langkah penting dalam memperkukuh perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di sekolah.

Walaupun pelaksanaannya mungkin berdepan cabaran praktikal, cabaran tersebut perlu ditangani secara berkesan agar matlamat dasar ini dapat dicapai.

CC menegaskan bahawa kemajuan sebenar bukan sekadar diukur melalui penggubalan undang-undang dan dasar, tetapi juga melalui pelaksanaan dan penguatkuasaan yang konsisten bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Dalam era digital yang semakin mempengaruhi kehidupan kanak-kanak, CC turut mengiktiraf manfaat dan risiko yang hadir seiring dengan perkembangan teknologi.

Meskipun platform digital membuka peluang luas untuk pembelajaran, komunikasi dan kreativiti, penggunaannya juga boleh mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai ancaman, termasuk buli siber, pengantunan dalam talian, eksploitasi seksual, gangguan, kandungan berbahaya serta propaganda ekstremis.

CC menegaskan bahawa keselamatan kanak-kanak dalam talian memerlukan kerjasama bersepadu antara Kerajaan, syarikat teknologi, ibu bapa, penjaga dan pendidik.

Syarikat teknologi perlu menyediakan langkah perlindungan dan mekanisme pelaporan yang berkesan, manakala ibu bapa dan penjaga berperanan memupuk komunikasi terbuka, menetapkan batasan yang bersesuaian dengan usia serta membimbing kanak-kanak mengenal pasti dan menangani risiko dalam talian.

Pada masa yang sama, langkah perlindungan ini hendaklah menghormati hak kanak-kanak terhadap privasi, akses kepada maklumat dan kebebasan bersuara, dengan mengambil kira keupayaan mereka yang semakin berkembang serta prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.

Di sebalik perkembangan positif ini, CC kekal prihatin terhadap insiden keganasan, penderaan, pengabaian dan eksploitasi kanak-kanak yang terus dilaporkan sepanjang tahun ini.

Lebih membimbangkan, kejadian sedemikian masih berlaku di persekitaran yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi kanak-kanak, termasuk rumah, sekolah, institusi jagaan dan komuniti mereka.

CC turut memandang serius laporan berterusan mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Walaupun peningkatan jumlah laporan mungkin mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi dan keberanian mangsa untuk tampil bersuara, keadaan ini tetap menuntut langkah pencegahan yang lebih menyeluruh, intervensi awal serta mekanisme pelaporan yang selamat dan mudah diakses.

Kes yang tidak dilaporkan juga tidak boleh dipandang ringan kerana kegagalan mengesan dan melaporkan penderaan boleh menyebabkan mangsa terus terdedah kepada risiko tanpa mendapat perlindungan dan bantuan yang sewajarnya.

CC menggesa orang ramai yang menyaksikan atau mengesyaki berlakunya penderaan atau eksploitasi kanak-kanak supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Setiap laporan hendaklah disusuli dengan siasatan yang segera dan menyeluruh, menggunakan pendekatan mesra kanak-kanak serta memastikan mangsa mendapat perlindungan, rawatan perubatan dan sokongan psikososial yang sewajarnya.

Tindakan tegas juga perlu diambil bagi memastikan pelaku dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka. Kanak-kanak yang tampil mendedahkan pengalaman penderaan hendaklah dilayan dengan penuh hormat dan bermaruah serta dilindungi daripada sebarang ancaman, trauma berulang atau kemudaratan selanjutnya.

Selain aspek perlindungan, kanak-kanak juga perlu diberi ruang dan peluang untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka.

Artikel 12 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) mengiktiraf hak kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan secara bebas dalam perkara yang melibatkan mereka, serta memastikan pandangan tersebut diberikan pertimbangan sewajarnya mengikut umur dan tahap kematangan mereka.

Sehubungan itu, CC menyeru agar mekanisme penyertaan kanak-kanak diperkukuh bagi memastikan suara dan pandangan mereka bukan sekadar didengari, tetapi turut diambil kira dalam penggubalan dasar, pelaksanaan program dan proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan serta kesejahteraan mereka.

Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia ini, CC ingin menyampaikan mesej kepada setiap kanakkanak bahawa suara anda penting, hak anda mesti dihormati dan masa depan anda perlu dilindungi.

Kepada ibu bapa, penjaga, pendidik, institusi, Kerajaan dan seluruh masyarakat, CC menyeru agar kita sentiasa mendengar suara kanak-kanak, mengambil serius kebimbangan mereka dan mengutamakan kepentingan terbaik mereka dalam setiap tindakan dan keputusan.

CC turut menggesa semua pihak agar menterjemahkan komitmen terhadap hak kanak-kanak kepada tindakan nyata, berkesan dan berterusan.

Perlindungan hak kanak-kanak bukan sekadar pelaburan untuk masa depan, tetapi tanggungjawab yang perlu ditunaikan pada hari ini bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, hidup dengan bermaruah dan menikmati peluang yang saksama untuk mencapai potensi sepenuhnya.

Hak kanak-kanak tidak boleh menunggu hari esok. Hak mereka mesti dihormati, dilindungi dan dipenuhi hari ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved