
TAWAU: Hospital Tawau memperkasakan kesedaran diabetes melalui saringan kesihatan dan pencegahan komplikasi sempena penganjuran program Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2026.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata program berkenaan menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit tersebut dan kepentingan pengesanan awal demi mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang.
“Pengesanan awal amat penting memandangkan diabetes boleh berlaku tanpa gejala yang ketara pada peringkat permulaan. Melalui pemeriksaan kesihatan secara berkala, individu yang berisiko dapat dikenal pasti lebih awal sekaligus membolehkan langkah pencegahan, perubahan gaya hidup dan rawatan sewajarnya dilaksanakan sebelum berlakunya komplikasi serius,” katanya.
Dr. Andi berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2026 anjuran Pusat Penjagaan Luka, Hospital Tawau yang disertai seramai 120 orang peserta.
Dalam pada itu program itu menyaksikan pelbagai aktiviti dijalankan termasuk pemeriksaan saringan kesihatan, ceramah pendidikan kesihatan dan pameran kesihatan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kawalan paras gula dalam darah, penjagaan kaki yang betul, pemeriksaan mata secara berkala serta kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
Mengulas lanjut beliau menyatakan program sama turut memberi penekanan khusus terhadap pencegahan komplikasi kaki diabetes dan retinopati diabetik iaitu kerosakan retina akibat diabetes yang boleh mengakibatkan amputasi anggota badan serta kehilangan penglihatan sekiranya tidak dikesan dan dirawat lebih awal.
Katanya program itu mencerminkan komitmen Pusat Penjagaan Luka, Hospital Tawau dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan berasaskan pencegahan, menggalakkan pengesanan awal penyakit serta mengurangkan risiko komplikasi diabetes, khususnya amputasi anggota badan dan kehilangan penglihatan.
Justeru Dr Andi berharap program tersebut dapat memperkukuh kerjasama antara pihak hospital, klinik kesihatan dan komuniti setempat dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan serta kualiti hidup masyarakat di daerah Tawau.



