Hari Kebangsaan 2026 tampil pengisian baharu

1 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hari Kebangsaan 2026 tampil pengisian baharu

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bakal tampil dengan kelainan menerusi dua pengisian baharu Gema Inovasi MADANI dan Rentak MADANI Paluan Tradisi untuk menyema­rakkan semangat patriotisme.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, kedua-dua persembahan itu dirangka bagi mengetengahkan gabungan seni budaya tradisio­nal dan kontemporari yang lebih segar, di samping menonjolkan elemen pendidikan, sosial, sukan, pertanian dan ekonomi.

“Tahun ini kita mengete­ngahkan dua persembahan utama ia­itu Gema Inovasi MADANI sebagai pembukaan dan Rentak MADANI Paluan Tradisi sebagai persembahan penutup yang dijangka menjadi tarikan utama sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

“Melalui pengisian ini, kita mahu menonjolkan aspek ke­sejahteraan rakyat menerusi pelbagai elemen yang diterjemahkan dalam bentuk persembahan kreatif,” katanya ketika ditemui selepas program Training of Trainers (TOT) Sambutan Hari Kebangsaan 2026, di sini.

Menurut beliau, persembahan pembukaan Gema Inovasi MADANI itu bakal melibatkan gabungan 150 pemain instrumen pergenda­ngan bersama 1,500 pelajar sekolah dalam satu persembahan berskala besar.

Jelasnya, persembahan penutup pula akan diserikan dengan Rentak MADANI Paluan Tradisi yang menggabungkan seni tari, paluan gendang dan kreativiti pelajar sekolah bagi menampilkan warisan budaya negara yang lebih moden serta kontemporari.

“Kalau tahun lalu kita lebih memberi fokus kepada elemen etnik, tahun ini kita tampil de­ngan gabungan seni budaya tanpa mengabaikan identiti tradisi negara.

“Kita mahu masyarakat melihat seni budaya bukan sekadar sesuatu yang tradisional tetapi mampu dipersembahkan dalam bentuk yang lebih dinamik, segar dan relevan dengan generasi masa kini,” katanya.

Image from: Hari Kebangsaan 2026 tampil pengisian baharu
Peserta Program Training Of Trainers (TOT) menjalani latihan sempena persediaan awal sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Dalam pada itu, Mohd. Amran berkata, sambutan kali ini bakal melibatkan hampir 10,000 peserta terdiri daripada kontinjen badan beruniform, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta kumpulan persembahan.

Katanya, penyelarasan membabitkan ribuan peserta itu memerlukan perancangan rapi termasuk latihan berfasa bagi memastikan setiap kontinjen dapat memberikan persembahan terbaik pada hari sambutan.

“Bagi komponen persembahan, kita melaksanakan latihan selama hampir sebulan bermula dengan program TOT, diikuti latihan di lokasi masing-masing sebelum semua peserta digabungkan di Dataran Putrajaya menjelang sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan generasi muda terus menjadi fokus utama apabila peserta terdiri daripada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan golongan belia.

“Patriotisme tidak cukup sekadar ditonton. Kita mahu generasi muda merasai sendiri pengalaman menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan agar semangat cintakan negara dapat dipupuk sejak usia muda,” katanya.

Beliau berkata, walaupun peruntukan sambutan tahun ini dikurangkan selaras langkah kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemat, keadaan itu tidak menjejaskan kualiti pengisian bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan 2026 kekal meriah, bermakna dan meninggalkan impak kepada rakyat. – UTUSAN

The post Hari Kebangsaan 2026 tampil pengisian baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved