Hari Orang Asal Sedunia iktiraf hak, jati diri

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 4:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Hari Orang Asal Sedunia iktiraf hak, jati diri

TAMBUNAN: Sambutan Hari Orang Asal Sedunia bukan sekadar medan untuk meraikan kepelbagaian budaya dan tradisi, sebaliknya membawa makna yang jauh lebih besar dalam mengiktiraf hak, mempertahankan tanah adat, menghargai pengetahuan tradisional serta memperkukuh tadbir urus kendiri masyarakat Orang Asal.​Presiden Borneo Dayak Forum (BDF), Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, menegaskan perkara tersebut ketika merasmikan Sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia (Phoas 2026) di Kampung Rantai, di sini, Ahad lepas.

Ahli Parlimen Keningau merangkap Adun Tambunan menjelaskan bahawa sambutan ini mempunyai kedudukan istimewa kerana mendapat pengiktirafan rasmi di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

​Beliau tidak menafikan sebahagian pihak mungkin melihat Hari Orang Asal Sedunia hanya sebagai acara kebudayaan melalui peragaan pakaian tradisional, sajian makanan warisan, serta persembahan tarian dan permainan tradisi.

Bagaimanapun, beliau menekankan aspek kebudayaan tersebut merupakan sebahagian daripada perjuangan lebih luas dalam mempertahankan identiti, hak, dan maruah masyarakat Orang Asal.

Jeffrey, yang juga Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (Sama), menyentuh sejarah penubuhan UN Working Group on Indigenous Populations pada 1982, yang menjadi titik tolak kepada pembentukan Deklarasi PBB mengenai Hak Orang Asal (Undrip) pada 2007, serta penetapan tarikh 9 Ogos sebagai Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia oleh Perhimpunan Agung PBB pada 1994.

​Mengulas tema penganjuran tahun ini, yang menumpu kepada peranan bidan Orang Asal, pengetahuan tradisional, biodiversiti, tindakan iklim, tenaga lestari, dan kesejahteraan, Jeffrey menyatakan pengetahuan Orang Asal terus membimbing masyarakat dalam menjaga kesihatan dan alam sekitar, merangkumi amalan penyelesaian berasaskan alam yang telah wujud sejak turun-temurun.

“Komuniti Orang Asal tidak seharusnya sekadar menjadi penerima manfaat pembangunan, tetapi perlu diberi keupayaan untuk mengurus sumber, membuat keputusan, dan mentadbir kampung mengikut adat serta nilai tempatan,” katanya.

Menurutnya, pemeliharaan tanah adat, hutan, dan sungai amat krusial kerana kerosakan terhadap sumber alam tersebut bakal menjejaskan bahasa, budaya, pengetahuan, serta jati diri generasi akan datang.

​Sejarah turut tercipta apabila Tambunan sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah selepas pernah menganjurkan Sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 (Hoas-4) pada 9 Ogos 1998.

Phoas 2026 dikendalikan bersama oleh beberapa organisasi antaranya Pertubuhan Wanita Orang Asal Malaysia (PWOAM), Pacos Trust, Center for Orang Asli Concerns (Coac), Tonibung, Sadia, Pertubuhan Rakyat Mamakat, dan Persatuan Suara Anak Sabah (Psas), di bawah kepimpinan Hilda Pius selaku Pengerusi Penganjur.

​Acara selama lima hari dari 6 hingga 10 Ogos ini menghimpunkan 350 peserta dari Wilayah Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

Antara etnik yang turut serta termasuk masyarakat Jakun, Temiar, Temuan, Mah Meri, Semoq Beri, dan Jahai dari Semenanjung; Bidayuh, Iban, Penan, Kayan, dan Kenyah dari Sarawak; serta kepelbagaian suku kaum dari Sabah seperti Dusun, Sungai, Murut, Kadazan, Rungus, Tombonuo dan Tidung.

​Program lima hari berkenaan sarat dengan pengisian termasuk sesi perbincangan mengenai Tadbir Urus Kendiri Kampung Orang Asal, forum dialog, perancangan mengikut wilayah, serta sesi ilmiah berkenaan peralihan tenaga yang adil dan hak wanita menerusi Cedaw General Recommendation No. 39.

Selain itu, penganjuran turut diselangi pelbagai sukan tradisi seperti rampanau, melastik, menyumpit, boling kelapa, merambat, tarik tali, moniri, mengupas pinang dan membelah rotan.

​Kemuncak majlis pada 9 Ogos menyaksikan Jeffrey menyempurnakan gimik perasmian menerusi paluan gong, diiringi lawatan ke tapak pameran, demonstrasi masakan tradisi, dan persembahan Malam Kebudayaan yang mempamerkan keindahan warisan ketiga-tiga wilayah.

Phoas 2026 secara keseluruhannya menjadi platform kukuh untuk memperkasa jaringan, menyuarakan hak, dan memastikan warisan serta jati diri masyarakat Orang Asal terus terpelihara demi masa depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved