Sekolah Adat Anak Negeri Sabah cawangan Sungai Pegalan Tambunan ditubuhkan

15 Jul 2026 • 3:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sekolah Adat Anak Negeri Sabah cawangan Sungai Pegalan Tambunan ditubuhkan

TAMBUNAN: Usaha memelihara dan memartabatkan warisan Orang Asal Sabah terus diperkukuh menerusi penubuhan rasmi Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Sungai Pegalan Daerah Tambunan.

Penubuhan sekolah adat itu dimuktamadkan menerusi Perjumpaan Ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi (AJKT) yang berlangsung di daerah ini pada 11 Julai lepas.

Pengetua SAANS Sungai Pegalan, Dr Lily James Billy berkata penubuhan institusi itu merupakan langkah penting bagi memelihara, memperkukuh dan mewariskan adat, budaya, bahasa serta identiti masyarakat Orang Asal Sabah menerusi sistem pendidikan adat yang lebih tersusun.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa atas komitmen dan sokongan sehingga tertubuhnya sekolah adat berkenaan.

Bagi perancangan 2026, katanya, pentadbiran SAANS Sungai Pegalan akan memberi tumpuan kepada dua agenda utama, iaitu pembangunan Rumah EtnikBunduliwan di Ibu Pejabat SAANS di Kampung Lumawang, Tuaran serta usaha mendapatkan pewartaan tanah bagi pembangunan tapak tetap SAANS Sungai Pegalan di Tambunan.

Menurut beliau, kedua-dua inisiatif itu akan menjadi asas kepada pembangunan institusi pendidikan adat yang berfungsi sebagai pusat pembelajaran, penyelidikan, dokumentasi dan pemuliharaan warisan budaya.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan cadangan pelbagai program bagi meningkatkan penglibatan masyarakat serta memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

SAANS yang ditubuhkan pada 2019 merupakan institusi pendidikan berteraskan adat, budaya dan warisan bagi mendokumentasikan serta mewariskan ilmu adat kepada generasi muda.

Sekolah pertamanya diwujudkan di Kampung Lumawang, Tuaran yang kini berfungsi sebagai ibu pejabat, pusat latihan guru dan pusat pembangunan kurikulum sebelum berkembang ke beberapa daerah di seluruh Sabah.

Institusi itu diasaskan oleh (Murug Vinangun) Shalmon Sanangan hasil penyelidikannya mengenai sistem pendidikan adat masyarakat Orang Asal Sabah, yang difailkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 2022.

Bagi memastikan kelangsungan ilmu tradisi, SAANS menawarkan 19 mata pelajaran teras meliputi undang-undang adat, pentadbiran, sejarah, bahasa ibunda, seni budaya, perubatan tradisional, geografi, pekerjaan masyarakat Orang Asal serta teknologi dan jaringan antarabangsa.

Kini, SAANS merangkumi 41 sekolah etnik di seluruh Sabah selain menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi penubuhan Sabah Native Customaries School Living Lab.

Pada masa sama, usaha sedang dijalankan bagi mencalonkan SAANS dalam Daftar Amalan Pemeliharaan Baik di bawah Unesco.

Bagi sesi 2026, pentadbiran SAANS Sungai Pegalan akan diterajui Dr Lily sebagai Pengetua, dibantu Dolores Micheal sebagai Timbalan Pengetua, Mark Ronald Malajim sebagai Setiausaha, Laina Ebit sebagai Penolong Setiausaha, Marie Jacqueline James sebagai Bendahari dan Dariah Michael sebagai Timbalan Bendahari bersama barisan ahli jawatankuasa lain.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved