Tahukah anda, Hari Pengguna Kebangsaan diraikan pada 15 Mac setiap tahun sempena sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang hak dan tanggungjawab sebagai pengguna.
Pada tahun ini, sambutan HPK 2026 bertemakan “Suara Kita, Kuasa Kita”. Tema ini memberi maksud pengguna mempunyai kuasa melalui suara dan tindakan, digalakkan aktif menyatakan pandangan, membuat aduan, memberi maklum balas dan melaporkan sebarang penipuan kepada saluran yang sesuai (KPDN).
Jom ikuti sorotan perkembangan pada hari tersebut dan pengumuman penting untuk kita ketahui sebagai pengguna.

Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026
YAB Datuk Seri Panglima Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri diiringi oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hadir ke Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 dan menyempurnakan Majlis Perasmian HPK 2026 bertempat di Pusat Membeli-belah Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pengguna perlu diperkasa dengan ilmu dan maklumat agar dapat membuat pilihan pembelian secara bijak berdasarkan keperluan sebenar serta tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau trend semasa.
Menurut beliau lagi, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat mendapatkan barangan berkualiti pada harga berpatutan, termasuk program Jualan RAHMAH MADANI, jualan murah serta advokasi kepenggunaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan komited melindungi kepentingan pengguna dengan memastikan bekalan mencukupi dan harga barangan terkawal, khususnya menjelang musim perayaan melalui pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac 2026.
YAB Perdana Menteri turut mengaitkan pengguna yang bijak dengan semangat Ramadan yang menekankan kesederhanaan dalam kehidupan dan perbelanjaan. Beliau mengingatkan rakyat supaya membeli mengikut keperluan, mengelakkan pembaziran serta sentiasa mengingati golongan kurang berkemampuan dengan berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan.
Turut hadir ialah YB Datuk Julita Majungki, Menteri Wanita, Kesihatan, dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN dan Pegawai- pegawai kanan kementerian.

Inisiatif KPDN Melalui Penambahbaikan Akta Sewa Beli Pindaan 2026
Dalam sidang media Hari Pengguna Kebangsaan di Kota Kinabalu, beberapa peruntukan baharu ditambah baik melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967, antaranya dengan memperkenalkan kaedah pengurangan baki dan juga kadar faedah efektif.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem kredit negara.
“Sekian lama 20 tahun usaha telah dibuat. Alhamdulillah bawah kerajaan MADANI, kita telah membuat reformasi undang-undang yang terkait dengan transaksi sewa beli.”
Pindaan itu juga menyokong transformasi digital, membolehkan penggunaan tandatangan dan dokumen perjanjian secara elektronik, sekali gus memudahkan urusan pengguna.
Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun ini bertujuan mewujudkan sistem pinjaman sewa beli yang lebih adil dan telus kepada pengguna.

Baca selanjutnya: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 – Berkuatkuasa Mulai 1 Jun 2026
Ketahui 8 Hak Pengguna
Sebagai pengguna yang bijak, kita mempunyai 8 Hak Pengguna yang perlu diketahui dan dihormati oleh semua pihak :
- Hak untuk mendapat keperluan asas
- Hak untuk membuat pilihan
- Hak untuk mendapatkan maklumat
- Hak untuk mendapat ganti rugi
- Hak untuk mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat
- Hak untuk menyuarakan pendapat
- Hak untuk mendapat pendidikan pengguna
- Hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat dan selamat

Ayuh, gunakan suara anda untuk membuat pilihan yang bijak, menuntut hak anda dan melaporkan sebarang ketidakadilan demi kesejahteraan bersama!




