
LABUAN: Satu upacara persendirian sempena Hari Peringatan diadakan di Tugu Peringatan Perang di sini pada 8 November lalu, jam 11 pagi iaitu Ahad paling hampir dengan 11 November, bagi memastikan acara bersejarah yang telah berlangsung tanpa gangguan selama 30 tahun dan menarik perhatian meluas masyarakat tempatan serta luar negara itu terus diadakan.
Upacara itu diketuai oleh ahli sejarah tempatan Willie Teo dan dihadiri kira-kira 40 individu termasuk beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Walaupun diadakan secara kecil-kecilan tanpa penghormatan ketenteraan, kami percaya waris dan rakan-rakan kepada anggota tentera muda yang terkorban akan menghargai tanda penghargaan daripada Labuan ini kepada mereka,” kata Teo.
Beliau berkata lima karangan bunga diletakkan di ‘Cross of Sacrifice’ (Salib Pengorbanan) di bahagian tengah tugu berkenaan termasuk sumbangan daripada Kaunselor (Pertumbuhan dan Ekonomi) Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia, Marie-Claire Joyce, Bulan Sabit Merah, Randy Davis, beliau sendiri dan dua individu lain.
Turut hadir ialah tiga anggota Gurkha daripada Tentera British.
Wakil lain yang hadir terdiri daripada Perbadanan Labuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Tourism Labuan, Muzium Labuan serta ahli Kelab Leo.
Teo berkata Tugu Peringatan Perang Labuan mempunyai 3,908 kubur/nama individu yang disemadikan atau diperingati di situ dan sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke kawasan bersejarah itu pasti akan merasai gabungan perasaan kesedihan dan penghormatan.
Mereka yang disemadikan di situ kebanyakannya berasal dari Australia, Britain, New Zealand, Tanah Melayu dan India yang terkorban sepanjang perang pada 1942 hingga 1945.
Ia turut merangkumi mereka yang meninggal dunia dalam perjalanan yang amat sukar dari Sandakan ke Ranau serta tawanan perang (POW) lain.
Teo berkata perang berakhir selepas serangan ketenteraan terakhir oleh Pasukan Bersekutu di sekitar Teluk Brunei menerusi Operasi OBOE 6. Kini, ombak laut membasahi pantai berhampiran Tugu Peringatan Perang berkenaan.
Pembatalan sambutan Hari Peringatan itu turut mendapat pelbagai komen di media sosial. Upacara berkenaan dibatalkan berikutan kerja-kerja pembaikan besar di bahagian deretan tiang yang merupakan pintu masuk utama ke tanah perkuburan berkenaan atas faktor keselamatan.
Ada juga yang mempersoalkan mengapa kerja-kerja pembaikan itu tidak dilakukan lebih awal dan disiapkan sebelum hari bersejarah berkenaan.



