johardy12/11/2026 - 11:50 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 12 November 2026 - Foto BERNAMA Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov - Malaysia mengurangkan pinjaman baharu tahunan kerajaan kepada RM75.6 bilion pada 2025 berbanding RM100 bilion pada 2021 dan 2022, walaupun perbelanjaan kerajaan terus meningkat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan memperuntukkan RM16 bilion bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM18 bilion untuk kenaikan gaji penjawat awam serta lebih RM40 bilion bagi subsidi bahan api.
Pinjaman baharu kerajaan menurun daripada RM100 bilion setahun pada 2021 dan 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, RM76.8 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion pada 2025, kata Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
"Walaupun hutang kita berkurangan, kita meminjam lebih sedikit, sedangkan perbelanjaan masih meningkat," katanya.
Beliau menjawab soalan Howard Lee (PH-Ipoh Timor) yang ingin mengetahui mengapa hutang negara masih belum dikurangkan ke paras lebih mampan, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Howard turut mempersoalkan sama ada kedudukan fiskal Malaysia mempunyai ruang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat terus meruncing.
Defisit fiskal dijangka turun kepada 3.3%
Anwar berkata, defisit fiskal Malaysia menunjukkan penurunan konsisten daripada 6.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan diunjurkan mengecil kepada 3.3% pada 2027.
Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK juga dijangka menurun daripada 65.2% kepada 64% pada 2026 dan 63% pada 2027.
Beliau berkata, perbandingan dengan angka pinjaman kerajaan pada 2018 adalah mengelirukan kerana pengiraan ketika itu tidak mengambil kira agensi di luar belanjawan, sedangkan kaedah pengiraan semasa merangkumi agensi berkenaan.
Anwar mengakui hutang negara meningkat dengan ketara antara 2020 hingga 2022 susulan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, beliau berkata, pinjaman baharu di bawah pentadbirannya jauh lebih rendah dan digunakan untuk pembangunan negara.
Nisbah hutang dan liabiliti turun kepada 80.7%
Nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan kepada KDNK menurun kepada 80.7% pada akhir Jun 2026 berbanding 80.9% pada akhir 2022, kata Anwar.
Beliau berkata, kerajaan menguruskan peningkatan perbelanjaan seiring dengan usaha membendung ketirisan kewangan.
Pentadbirannya turut menyediakan pengurangan cukai kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Anwar menambah, kerajaan sedang bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk menyalurkan pembiayaan kepada projek yang memberi manfaat kepada negara serta perniagaan Bumiputera. - DagangNews.com





