
KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 17 Jun ini.
Pengumuman tarikh itu dibuat Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Mohd Aseral Jusman.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1445 Hijrah ialah pada 8 Jun 2024 Masihi.
“Oleh yang demikian bagi Hari Raya Korban 10 Zulhijjah 1445 bagi negeri negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Isnin 17 Jun 2024,” katanya dalam pengumuman rasmi yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen tempatan sebentar tadi.
Tarikh melihat anak bulan Zulhijjah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Jumaat tadi, bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijrah, di 29 lokasi di seluruh negara.
Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan tarikh 1 Zulhijah dan 10 Zulhijah (Hari Raya Korban) yang ditetapkan, akan diisytiharkan malam ini. - Getaran, 7 Jun 2024

