Hari Wesak Disambut Meriah, Harmoni Di Seluruh Negara

12 May 2025 • 9:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Wesak hari ini diraikan dengan penuh meriah dan harmoni apabila penganut Buddha memenuhi tokong-tokong di seluruh negara bagi melaksanakan upacara keagamaan.

Di ibu negara, penganut Buddha mula mengunjungi Tokong Buddha Maha Vihara di Brickfields sejak 8 pagi bagi menunaikan upacara keagamaan serta memberikan penghormatan sempena kelahiran, pencerahan dan pemergian Siddharta Gautama, pengasas agama Buddha.

Sambutan itu turut disertai pelancong asing dan warga tempatan yang ingin merasai suasana serta mendalami makna Hari Wesak.

Seorang pengunjung tempatan beragama Hindu, M. Rajan, 45, berkata kehadirannya adalah sebagai tanda hormat kepada rakan-rakan beragama Buddha dan untuk lebih memahami kepercayaan mereka.

"Malaysia ialah negara berbilang kaum dan agama. Saya rasa penting untuk kita saling menghormati dan meraikan perayaan bersama. Ini juga satu cara untuk memupuk keharmonian," katanya kepada Bernama.

Pelancong dari Filipina, Jonathan Reyes, berkata beliau mengunjungi tokong itu semasa melancong ke Malaysia bagi mengenali budaya tempatan dan perayaan keagamaan.

"Saya suka melihat suasana yang tenang dan penuh rasa hormat. Saya bukan penganut Buddha, tetapi berada di sini hari ini membantu saya memahami dan menghargai kepelbagaian spiritual di Malaysia," katanya.

Di SELANGOR, orang ramai membanjiri Tokong Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom, Kuala Langat, yang menjadi antara tumpuan utama ribuan penganut Buddha setiap kali sambutan Hari Wesak.

Pengurus tokong, Miao Yue, 52, berkata kira-kira 30,000 penganut hadir ke tokong itu, yang telah memulakan upacara keagamaan serta penghormatan kepada kelahiran, pencerahan agung dan pemergian Siddharta Gautama sejak Sabtu lepas.

Di PERAK, tinjauan Bernama di Enlightened Heart Tibetan Buddhist Temple, Tambun mendapati ribuan penganut Buddha menunggu giliran untuk menyalakan colok, menabur bunga dan memandikan patung Buddha, dengan kehadiran pelancong asing yang turut sama menyertai sambutan tersebut.

Wat Siribunya Maggarama di Jalan Raja Dihilir, Ipoh turut dipenuhi penganut Buddha yang datang dari pelbagai latar belakang bersama keluarga mereka seawal & pagi, sambil membawa jambangan bunga dan barangan keperluan asas seperti beras untuk didermakan kepada tokong. - BERNAMA