Harimau Muda buru permulaan sempurna

18 Aug 2023 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Elavarasan (tengah) bersama Tae-yong (kiri) dan Soon-tae semasa sidang media pra kejohanan di Rayong, Thailand pada Khamis. - Foto Football Association of Malaysia

SKUAD bawah 23 (B-23) tahun negara perlu memburu permulaan sempurna ketika menentang Indonesia dalam aksi pembukaan Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Jumaat.

Kemenangan ke atas Indonesia yang menjadi halangan utama negara dalam Kumpulan B sudah tentu akan memudahkan perjalanan skuad Harimau Muda untuk merealisasikan misi mara ke final kejohanan tersebut.

Skuad Garuda Muda itu juga telah memberikan bayangan awal bahawa mereka bakal berdepan kekangan kerana tidak boleh membawa pasukan sama ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Kemboja untuk mengharungi kejohanan serantau itu.

Justeru, ia menjadi kelebihan yang boleh dimanfaatkan pengendali E Elavarasan walaupun pasukan negara juga agak tempang tanpa kehadiran beberapa pemain utama.

Situasi dihadapi Malaysia mungkin tidak terlalu rumit seperti Indonesia dengan Elavarasan hanya 'memperkenalkan' tujuh pemain baharu dalam senarai 23 pemain negara ke kejohanan itu.

Malah, majoriti pemain negara yang berada dalam skuad kali ini telah dikumpulkan beberapa kali dalam sesi latihan pusat dan saingan Sukan SEA baru-baru ini.

Elavarasan dalam sidang media pra perlawanan di Rayong tetap menghormati semua pasukan dan menegaskan pasukan negara akan melakukan yang terbaik untuk mara sejauh yang boleh.

“Malaysia juga ada masalah sama seperti yang dialami Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong dan jurulatih Timor Leste, Park Soon-tae.

“Ia agak sukar buat kami kerana kejohanan ini berlangsung ketika liga berjalan. Fokus kami lebih kepada persiapan untuk kelayakan Piala Asia (B-23). Itu merupakan salah satu daripada objektif utama kami selain beraksi dengan cemerlang.

“Kami menghormati semua pasukan dalam kumpulan yang menyertai kejohanan ini. Setiap kejohanan adalah proses untuk kami mendapatkan pengalaman dan menambah baik pasukan kami,” katanya.

Selepas berdepan Indonesia pada Jumaat, skuad negara akan menentang Timor-Leste di Stadium Rayong pada 22 Ogos.

Berdasarkan format kejohanan, tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos, seterusnya aksi penentuan tempat ketiga dan final akan berlangsung pada 26 Ogos.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved