Harimau Muda tumbang lagi

20 Apr 2024 • 11:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Skuad Harimau Muda gagal meraih tiga mata penting dalam aksi menentang Vietnam. Foto FAM

HARIMAU Muda menderita kekalahan kedua dalam aksi Kumpulan D Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) selepas tewas kepada Vietnam 0-2 di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Sabtu.

Kekalahan itu juga menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido mungkin terpaksa pulang awal dari kempen Piala Asia kali ini sekiranya Uzbekistan berjaya menewaskan Kuwait dalam satu lagi aksi sebentar lagi.

Bagaimanapun, skuad negara tampak positif pada separuh masa pertama apabila mencipta beberapa peluang dan berjaya memberikan tekanan kepada benteng pertahanan Vietnam.

Peluang pertama hadir pada minit ketiga menerusi Fergus Tierney, namun rembatannya tersasar sebelum Vietnam turut mengancam menerusi tandukan Vo Hoang Minh Khoa empat minit kemudian yang diselamatkan Muhammad Azim Al Amin.

Kesilapan hantaran ke belakang pemain Vietnam hampir memberikan gol untuk Harimau Muda, namun tindakan Muhammad Najmudin Akmal yang sedikit gopoh menyaksikan rembatannya melambung tinggi.

Vietnam lebih bernasib baik apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma cantik Khuat Van Khang pada minit ke-39.

'Penyakit' yang sering menyedekahkan penalti kepada lawan berulang apabila pertahanan negara, Muhammad Ubaidullah menolak pemain Vietnam Bui Vi Hao dalam kotak penalti pada minit ke-58.

Vo Hoang Minh Khoa tidak berdepan masalah untuk menewaskan Muhammad Azim sekali gus menggandakan kedudukan buat pasukan Golden Star Warriors sekali gus memberikan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Skuad negara akan melengkapkan aksi kumpulan bertemu Kuwait pada Selasa ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved