Hartalega dijangka berdepan cabaran berpanjangan kesan kenaikan kos bahan mentah – HLIB

Business & Finance
31 Oct 2023 • 4:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hartalega dijangka berdepan cabaran berpanjangan kesan kenaikan kos bahan mentah – HLIB

diyana

31/10/2023 - 16:15

KUALA LUMPUR 31 Okt - Hartalega Holdings Berhad dijangka berdepan cabaran yang berpanjangan, bergelut dengan masalah lebihan bekalan sarung tangan, purata harga jualan (ASP) rendah dan peningkatan harga bahan mentah.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata sebarang kenaikan ASP untuk menampung kos bahan mentah yang lebih tinggi akan mencabar dan berpotensi membawa kepada pengurangan tempahan memandangkan jurang harga yang agak ketara masih wujud antara Hartalega pesaingnya di China.

Menurut firma penyelidikan itu, harga bahan mentah nitril butadiena telah meningkat sejak September dan sebarang percubaan untuk menaikkan harga sarung tangan akan mendapat tentangan daripada pembeli kerana pasaran terus bergelut dengan lebihan bekalan.

"Pada pendapat kami, percubaan menaikkan harga akan memberi kesan negatif kepada jumlah jualan memandangkan pembeli mempunyai fleksibiliti untuk beralih kepada pembekal yang lebih cekap kos.

"Ini terbukti pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), di mana jumlah jualan Hartalega menjunam 26% suku ke suku (QoQ) selepas ia meletakkan kos gas asli yang lebih tinggi kepada pembeli," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu berkata penghantaran Hartalega pada Oktober berharga AS$18 setiap seribu keping berbanding AS$20 setiap seribu keping pada Julai, yang dipercayai meningkatkan kadar penggunaan sedikit kepada 40% hingga 45% berbanding 41% pada 1QFY24.

HLIB berkata pembuat sarung tangan tempatan mendahului pembuat di China dari segi kualiti, namun mereka telah membuat penambahbaikan baru-baru ini untuk merapatkan jurang kualiti.

"Kami percaya pembeli sarung tangan lebih cenderung untuk beralih kembali kepada pembekal Malaysia hanya apabila jurang harga mengecil kepada AS$1 setiap seribu keping (jurang semasa: kira-kira AS$3 setiap seribu keping).

"Untuk Hartalega merampas semula bahagian pasaran, ia memerlukan pengurangan dalam ASP kepada kira-kira AS$16 setiap seribu keping untuk melihat peralihan bermakna tempahan kepada pengeluar tempatan," katanya.

Bagaimanapun, firma itu tidak menjangka Hartalega akan terlibat dalam perang harga untuk meningkatkan jumlah jualannya.

Firma itu berkata operasi sepatutnya terus kerugian dalam tempoh terdekat dan Hartalega dijangka kembali mencatat keuntungan pada FY25.

HLIB mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham.

Pada pukul 4:09 petang ini, saham Hartalega menokok 1 sen atau 0.5% kepada RM2.05 dengan permodalan pasaran berjumlah RM7 bilion. - DagangNews.com