Pendapatan Chin Teck dijangka lebih kukuh seiring kenaikan harga minyak sawit mentah dan kos baja kembali normal – PublicInvest
diyana
31/10/2023 - 10:53
KUALA LUMPUR 31 Okt - Pendapatan Chin Teck Plantations Bhd dijangka lebih kukuh ke hadapan, seiring dengan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) dan kos baja yang kembali normal.
Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata demikian susulan keputusan tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) yang mencatat pendapatan RM45.1 juta, jatuh 56.6% tahun ke tahun (YoY).
Jelasnya, keputusan yang lebih lemah daripada jangkaan tersebut terutamanya disebabkan oleh kerugian daripada syarikat bersekutu dan usaha sama pada suku terakhir.
“Namun begitu, kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan kami, kerana kami menjangkakan untuk melihat pendapatan yang lebih kukuh pada masa hadapan seiring dengan peningkatan harga MSM dan penormalan kos baja,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas mengenai prestasi kumpulan pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), PublicInvest berkata purata harga MSM susut daripada RM5,345 setiap tan metrik (mt) kepada RM3,843/mt (FY23:RM3,985/mt berbanding FY22: RM5,226/mt).
Sementara itu, pengeluaran buah tandan segar (BTS) pada suku semasa kekal pada 49,258 juta, manakala kadar pengekstrakan MSM merosot daripada 19.38% kepada 19.24%. Pada FY23, jumlah kawasan tanaman adalah 12,201 hektar dengan 10,357 hektar kawasan matang.
Menurut firma itu, keuntungan 4QFY23 jatuh 58% YoY daripada RM23.4 juta kepada RM9.9 juta disebabkan kerugian syarikat bersekutu dan usaha sama di Indonesia.
“Perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi daripada RM6.4 juta kepada RM7.5 juta adalah disebabkan oleh pengambilalihan anak syarikat, Fauzi-Lim Plantation Sdn Bhd.
“Sementara itu, syarikat bersekutunya di Indonesia menyaksikan peningkatan kerugian daripada RM600,000 kepada RM6.4 juta,” tambahnya.
PublicInvest berkata gangguan kepada perladangan Indonesia milik usaha samanya di wilayah Lampung masih berterusan, di mana jumlah kawasan yang boleh diakses kekal pada 53.61% daripada jumlah kawasan tanaman.
“Sementara itu, penuaian kawasan matang yang terletak di Wilayah Sumatera Selatan juga tertangguh berikutan pergolakan di tanah jirannya itu. Menurut pengurusan, permulaan penuaian masih menunggu kelulusan oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) 70 sen sesaham.
Saham Chin Teck kekal pada RM7.67 setakat pukul 10:49 pagi ini, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM700.9 juta. Sahamnya telah merosot 10.4% setakat tahun ini. - DagangNews.com

