Hartalega sasar pemulihan jualan menjelang pertengahan tahun, kata HLIB Research

24/04/2025 - 15:16
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 24 April - Hartalega Holdings Bhd bersedia untuk pulih semula dalam beberapa bulan lagi, didorong oleh permintaan yang mula meningkat dan jangkaan kenaikan semula harga jualan purata (ASP).
Syarikat itu masih berhati-hati tetapi yakin dengan prospek terdekat, apabila pengurusan melihat tanda awal peningkatan pesanan dari pelanggan Amerika Syarikat (AS) untuk Mei 2025 dan menjangka stok akan ditambah lebih banyak pada Jun 2025 apabila inventori berkurang.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25) hingga FY27 dikekalkan.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.66, memetik profil risiko ganjaran Hartalega yang menarik, terutamanya kedudukan strategik syarikat dalam persekitaran tarif yang berubah-ubah serta penstrukturan semula sektor yang sedang berlaku.
Dari segi jualan, HLIB Research menyatakan, Hartalega menjangkakan penurunan sebanyak 15%–20% suku-ke-suku untuk suku keempat (4Q) FY25, selari dengan panduan terdahulu.
Namun, sentimen pasaran dilihat semakin pulih.
"Kami melihat potensi lonjakan semula dalam pembelian secara agresif susulan pengumuman penangguhan Tarif Perdagangan AS selama 90 hari pada 10 April 2025.
"Perkembangan ini boleh menjadi pemangkin sementara yang membantu meningkatkan jualan dan ASP," jelas firma tersebut.
Walaupun bersifat sementara, penangguhan tarif itu dilihat sebagai pemangkin positif jangka pendek.
Trend ASP yang menurun sejak kemuncaknya pada Disember 2024 akibat jumlah jualan yang lemah, dijangka pulih apabila Hartalega merancang menaikkan harga mulai Julai 2025, tertakluk kepada pemulihan permintaan di AS pada Jun ini.
"Syarikat merancang untuk menaikkan ASP bermula Julai 2025, sekiranya pemulihan permintaan AS pada Jun ini menjadi kenyataan," tambah laporan HLIB Research.
Berhubung permintaan pelanggan AS untuk berkongsi beban kos, Hartalega menolak cadangan untuk menyerap tarif 10% yang dikenakan baru-baru ini, dengan alasan kewangan syarikat masih dalam proses pemulihan.
“Pengurusan menolak cadangan itu atas faktor kedudukan kewangan yang masih dalam fasa pemulihan,” ujarnya.
HLIB Research kekal positif terhadap prospek jangka sederhana sektor sarung tangan.
"Kami terus optimis terhadap laluan pemulihan sektor ini, dengan keseimbangan antara penawaran dan permintaan dijangka tercapai menjelang 2026," katanya.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, status Malaysia sebagai negara pengeksport sarung tangan dengan tarif terendah turut memperkukuh kedudukan negara dalam rundingan perdagangan global, satu kelebihan jangka panjang kepada pengeluar tempatan.
Dengan harga saham Hartalega yang merosot 46% sejak awal tahun ini, HLIB Research melihat penilaian semasa sebagai peluang menarik untuk pelabur, memandangkan profil risiko-ganjaran yang kukuh. - DagangNews.com
standard

