Hartanah tidak terjual Malaysia terus meningkat pada 2Q25 disebabkan lebihan ketara di Kelantan - MBSB Research

12 Sep 2025 • 10:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hartanah tidak terjual Malaysia terus meningkat pada 2Q25 disebabkan lebihan ketara di Kelantan - MBSB Research

image is not available

12/09/2025 - 10:14

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Jumlah hartanah tidak terjual di Malaysia terus mencatatkan peningkatan kepada 26,911 unit pada suku kedua 2025 (2Q25) berbanding 23,515 unit pada suku sebelumnya disebabkan lebihan kediaman ketara di Kelantan.

MBSB Research berkata, pertambahan itu disebabkan kenaikan ketara unit kediaman tidak terjual di Kelantan kepada 2,411 pada 2Q25 berbanding hanya 421 unit pada suku sebelumnya.

"Sebahagian besar kediaman itu terdiri daripada kondominium dan apartmen di Kota Bharu yang ditawarkan pada harga antara RM200,000 hingga RM300,000, menyumbang sebanyak 1,946 unit kepada jumlah keseluruhan.

"Walaupun berlaku peningkatan di peringkat nasional, lebihan kediaman di beberapa negeri utama kekal agak stabil.

"Kuala Lumpur dan Pulau Pinang melaporkan penurunan angka lebihan, manakala Selangor dan Johor mencatatkan peningkatan sederhana," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan lima negeri dengan lebihan kediaman tertinggi pada 2Q25 ialah Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Angka terkini itu menyerlahkan cabaran berterusan dalam sektor hartanah Malaysia, khususnya dalam usaha mengimbangi bekalan dengan permintaan sebenar, dengan kediaman bertingkat harga sederhana di pasaran sekunder terus berdepan kadar pembelian yang lemah.

Bagi Belanjawan 2026 yang akan diumumkan pada Oktober 2025, MBSB Research menjangkakan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pemilikan rumah khususnya bagi pembeli rumah pertama.

Katanya, insentif seperti pengecualian duti setem dan kesinambungan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dijangka diumumkan bagi mengukuhkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana.

"Pemaju yang mempunyai pendedahan tinggi kepada segmen perumahan mampu milik seperti Mah Sing Group dan Matrix Concepts dijangka mendapat manfaat.

"Selain itu, kami berpendapat pembangunan model baharu sebagai sebahagian daripada reformasi pasaran perumahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) juga mungkin diumumkan, seperti model bina-dulu-jual dan skim sewa-untuk-miliki yang dipertingkatkan.


"Model bina-dulu-jual bertujuan mengurangkan risiko kepada pembeli dan mengurangkan projek terbengkalai, namun peralihan kepada model baharu ini mungkin memberi cabaran kewangan kepada pemaju yang berdepan aliran tunai ketat atau nisbah hutang bersih yang tinggi," katanya.

MBSB Research mengekalkan saranan "neutral" dan Mah Sing Group (beli, harga sasaran (TP): RM1.51), Matrix Concepts (beli, TP:RM1.65) dan UOA Development (beli, TP:RM2.04). - DagangNews.com

standard