
Sebut sahaja haruan atau nama saintifiknya, Channa striata, hampir seluruh rakyat Malaysia mengenali spesies ini. Bagi kebanyakan pemancing, inilah spesies ikan yang mewujudkan pengalaman pertama memancing mereka.
Haruan menjadi antara ikan air tawar paling penting dalam budaya memancing negara.
Ikan ini hidup di pelbagai habitat air tawar di negara kita seperti sungai, kolam, tasik, sawah padi, paya longkang, parit atau tali air.
Tidak keterlaluan jika haruan dianggap sebagai ‘ikan rakyat’ kerana ia mudah ditemui di mana-mana sahaja dan mampu memberikan pertarungan menghiburkan.
Keluarga snakehead
Haruan merupakan salah satu ahli genus Channa iaitu kumpulan ikan yang lebih dikenali di seluruh dunia sebagai snakehead kerana bentuk kepalanya menyerupai kepala ular. Genus ini berasal dari Asia
dan mempunyai lebih 30 spesies yang telah dikenal pasti oleh ahli biologi.
Malaysia pula bertuah kerana menjadi habitat kepada beberapa spesies Channa yang terkenal.

Antaranya ialah haruan (Channa striata), toman (Channa micropeltes), bujuk (Channa lucius), kerandang (Channa marulioides), haruan kedak (Channa gachua), haruan palas (Channa melasoma) serta beberapa spesies lain yang mendiami habitat tertentu di Sabah dan Sarawak.
Induk spesies dalam keluarga Channidae selalunya akan mempertahankan kelompok anak daripada sebarang ancaman dan tidak teragak-agak menyerang apa sahaja yang menghampiri kumpulan anak-anaknya.
Pelbagai teknik
Salah satu faktor yang menjadikan haruan begitu dekat di hati masyarakat adalah kerana spesies ini boleh dipancing menggunakan pelbagai teknik sama ada tradisional ataupun moden.
Sejak dahulu lagi, masyarakat kampung menangkap haruan menggunakan tajur, bubu, rawai, jala, serkap, malah ada yang menggunakan tangan di kawasan sawah selepas musim menuai.
Umpan seperti cacing, anak ikan, udang sungai, katak, cicak, lipas dan belalang sering digunakan kerana mudah diperolehi.
Seiring perkembangan sukan memancing, haruan terus menjadi spesies kegemaran menerusi teknik mengilat (casting).
Ramai kaki pancing pada hari ini menganggap haruan sebagai ‘guru pertama’ sebelum mereka beralih kepada memburu sebarau, toman, siakap, tenggiri dan lain-lain.
Habitat dan ciri fizikal
Haruan mempunyai badan yang panjang, lengkap dengan kepala lebar serta mulut besar dipenuhi gigi-gigi tajam.
Warna badan lazimnya kelabu gelap hingga coklat kehitaman dengan corak berbelang di bahagian sisi, manakala perut lebih cerah bagi membantu penyamaran di habitatnya.
Keistimewaan utama haruan adalah kewujudan organ labirin iaitu organ pernafasan tambahan yang membolehkannya menyedut oksigen terus daripada udara.
Adaptasi luar biasa ini membolehkan haruan hidup di kawasan yang mempunyai kandungan oksigen rendah seperti sawah, parit, paya dan lopak air.

Malah, spesies ini mampu bertahan di kawasan yang hampir kering dan bergerak merentasi tanah yang lembap untuk mencari habitat baharu apabila keadaan memerlukan.
Habitat kegemarannya adalah kawasan air tenang dipenuhi rumpai, kiambang, reba dan tumbuhan akuatik yang menjadi lokasi terbaik untuk bersembunyi sebelum menyerang mangsa.
Penyerang hendap
Haruan adalah pemangsa hendap yang bergantung kepada elemen kejutan untuk memburu makanan.
Ia akan berdiam diri berselindung di sebalik struktur sebelum melancarkan serangan pantas terhadap mangsa yang melalui kawasannya.
Kelajuan serangan haruan sering mengejutkan mangsa, sekali gus menjadikannya antara pemangsa air tawar paling efisien. Sifat agresif inilah yang menjadikan haruan sasaran utama pemancing.
Dalam dunia mengilat, antara gewang yang efektif untuk haruan adalah topwater kalis sangkut seperti soft frog dan jump frog.
Serangan mengejut sehingga menghasilkan ‘letupan’ merupakan detik yang paling dinantikan oleh setiap kaki casting.
Selain itu, pemancing turut menggunakan spinnerbait, buzzbait, soft plastic, minnow dan crankbait, bergantung kepada keadaan padang pancing.
Khazanah negara
Selain menjadi spesies ikan sukan memancing, haruan juga terkenal sebagai sumber makanan yang berkhasiat.
Sejak turun-temurun, masyarakat Melayu mengamalkan pengambilan sup atau pati ikan haruan bagi membantu mempercepatkan penyembuhan luka, terutama selepas bersalin atau menjalani pembedahan.
Kajian turut menunjukkan daging haruan kaya dengan protein berkualiti tinggi, albumin, asid amino dan asid lemak penting yang membantu proses pemulihan tisu badan. Walaupun populasinya masih stabil di kebanyakan perairan, namun haruan tetap berdepan ancaman akibat kehilangan habitat, pencemaran air dan kemusnahan kawasan.
Sebagai pemancing yang bertanggungjawab, amalan tangkap dan lepas terutama terhadap induk sedang menjaga anak wajar dipraktikkan.
Ketika musim pembiakan, seekor induk mampu menjaga ratusan anak yang berenang rapat di sekelilingnya. Jika induk ditangkap, peluang anak-anak tersebut untuk terus hidup menjadi sangat tipis.
Haruan adalah satu simbol nostalgia buat ramai pemancing Malaysia. Daripada spesies inilah lahir minat memancing yang akhirnya berkembang menjadi hobi sepanjang hayat.
Ia juga menghubungkan generasi lama dengan pemancing moden melalui pengalaman yang hampir sama, bermula di tepi sawah, parit atau tali air, sebelum meneruskan pengembaraan memancing ke sungai, tasik serta lautan.
Selagi habitatnya terus dipelihara, selagi itulah generasi akan datang berpeluang merasai debaran sambaran padu ‘ikan rakyat’ ini.
The post Haruan simbol nostalgia buat ramai pemancing appeared first on Kosmo Digital.

