Hasil Eco-Shop pada FY25 naik 16% kepada RM2.8 bilion dipacu penambahan 74 kedai baharu

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2025 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Eco-Shop pada FY25 naik 16% kepada RM2.8 bilion dipacu penambahan 74 kedai baharu

image is not available

28/07/2025 - 17:54

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Eco-Shop Marketing Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 16% kepada RM2.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025 (FY25) dipacu penambahan sebanyak 74 kedai baharu sepanjang tahun kewangan berkenaan.

Kumpulan itu berkata, walapun berdepan kos operasi yang lebih tinggi akibat pengembangan rangkaian kedai dan pelaksanaan gaji minimum, untung bersih teras kumpulan naik sebanyak 17% kepada RM213.7 juta berbanding tahun sebelumnya.

Pada 4QFY25, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM689 juta, mewakili peningkatan sebanyak 8% daripada RM640.7 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Untung bersih teras bagi suku tersebut berjumlah RM57 juta, berbanding RM63.4 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham biasa atau kira-kira RM57.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025, yang akan dibayar pada 26 Ogos 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jessica Ng berkata, pihaknya akan terus berhati-hati dalam mengurus tekanan kos, termasuk tarif elektrik yang lebih tinggi, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing.

Katanya, kumpulan itu sedang memperkukuh daya tahan menerusi kecekapan rantaian bekalan, penetapan harga yang strategik, penambahbaikan produk serta kerjasama rapat dengan pembekal.

"Seperti yang dijangka, pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) merosot sedikit selepas pelarasan harga pada pertengahan April lalu, memandangkan pengguna memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan harga baharu.

"Pada masa yang sama, kami sedang melaksanakan kempen pemasaran yang disasarkan bagi meningkatkan kehadiran pelanggan. Walaupun terdapat sedikit kemerosotan dalam SSSG, kami menjangkakan margin dan prestasi akan kekal sihat atau terus meningkat pada masa hadapan.

"Pengembangan rangkaian kedai kami terus menjadi strategi jangka panjang utama bagi memperkukuh penembusan pasaran. Kami kekal fokus untuk mencapai prestasi kewangan yang kukuh dan mampan dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com

standard