hamden08/05/2026 - 17:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Mei - Hume Cement Industries Bhd mencatat penurunan hasil kepada RM235.9 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) berbanding RM277.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan melonjak ketara kepada RM264.9 juta daripada RM58.0 juta sebelum ini. Pada suku sebelumnya, kumpulan mencatat hasil RM271.1 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, penurunan hasil berkenaan terutamanya disebabkan jumlah jualan simen yang lebih rendah serta pengurangan jualan konkrit susulan penamatan segmen konkrit di Semenanjung Malaysia.
"Peningkatan ketara PBT pula dipacu oleh keuntungan sekali sahaja hasil pelupusan sebuah anak syarikat dalam suku semasa.
“Selepas mengecualikan keuntungan sekali sahaja tersebut, kumpulan masih mencatat PBT lebih tinggi walaupun hasil lebih rendah,” katanya dalam makluman tersebut.
Kumpulan itu berkata, prestasi itu disokong oleh kos input dan pengeluaran yang lebih rendah hasil pelaksanaan berterusan inisiatif penambahbaikan kecekapan operasi.
Katanya, usaha pengoptimuman kos terus memberi kesan positif kepada margin keuntungan walaupun berdepan penurunan hasil jualan.
Bagi tempoh tahun kewangan setakat ini, syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM797.1 juta berbanding RM851.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala PBT melonjak kepada RM429.9 juta daripada RM220.2 juta.
Peningkatan PBT itu turut disumbangkan oleh pelupusan anak syarikat serta kos operasi yang lebih rendah.
Mengenai prospek, syarikat berkata persekitaran operasi kekal mencabar susulan ketegangan geopolitik global yang meningkatkan ketidaktentuan harga tenaga dan tekanan kos.
Bagaimanapun, pihak pengurusan akan terus melaksanakan langkah pengurusan kos secara proaktif bagi memastikan kestabilan operasi.
“Daya tahan ekonomi domestik yang disokong perbelanjaan pembangunan dan projek infrastruktur terus menyokong aktiviti pasaran,” katanya.
Syarikat itu turut menjangkakan prestasi kumpulan bagi tahun kewangan semasa kekal memuaskan, sekiranya tiada sebarang keadaan luar jangka. - DagangNews.com





