HASiL kesan RM3.5 bilion pendapatan tidak dilapor

LocalBusiness & Finance
27 Apr 2026 • 6:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: HASiL kesan RM3.5 bilion pendapatan tidak dilapor
HASiL mengesan pendapatan tidak dilaporkan berjumlah RM3.5 bilion hasil semakan data e-Invois, sekali gus membongkar ketidakpatuhan dalam kalangan pembayar cukai.

CYBERJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengesan pendapatan tidak dilaporkan berjumlah RM3.5 bilion hasil semakan data e-Invois, sekali gus membongkar ketidakpatuhan dalam kalangan pembayar cukai.

HASiL berkata, hasil daripada pendekatan peringatan (nudging), seramai 38,906 pembayar cukai telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan melaporkan pendapatan berjumlah RM3.5 bilion, melibatkan cukai kena dibayar sebanyak RM760.7 juta.

"Bagi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan BNCP, HASiL akan mengambil tindakan lanjut melalui tindakan audit dan penguatkuasaan.

"Sehubungan itu, HASiL menyeru semua pihak untuk menunaikan tanggungjawab cukai masing-masing dengan melapor pendapatan dan membayar cukai dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

HASiL memaklumkan, sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, seramai 225,604 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran sebanyak 1.299 bilion e-Invois secara keseluruhan.

Menurutnya, perkembangan terbabit mencerminkan sokongan positif terhadap usaha pendigitalan dalam operasi perniagaan dan pengurusan rekod yang lebih sistematik.

Dalam perkembangan sama, kongsinya, HASiL turut melaksanakan Operasi Semakan Pematuhan e-Invois Peringkat Nasional 2026 secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 24 April 2026 dalam usaha memperkukuh pematuhan perlaksanaan e-Invois oleh pembayar zakat.

Tambahnya, seramai 108 pembayar cukai dikenal pasti masih gagal melaksanakan e-Invois di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 untuk diambil tindakan dalam operasi berkenaan.

"Pendekatan yang dilaksanakan merangkumi lawatan premis, semakan rekod e-Invois, temu bual serta penilaian sistem e-Invois yang digunakan bagi memastikan pematuhan yang menyeluruh," ujarnya lagi.

Kenyataan itu turut menyatakan, operasi itu dilaksanakan secara holistik dengan gabungan pendekatan penguatkuasaan dan pendidikan, selaras aspirasi HASiL untuk bukan sahaja memastikan pematuhan undang-undang, malah meningkatkan kesedaran serta kefahaman pembayar cukai.

"Seiring agenda pendigitalan negara, HASiL turut memberi penekanan kepada sokongan terhadap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai pemacu ekonomi serta peningkatan daya saing sektor tersebut," katanya.

HASiL menambah, kerajaan bersetuju memberikan tempoh kelonggaran tambahan kepada pembayar cukai dalam Fasa 4 selama 24 bulan berbanding 12 bulan sebelum ini bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan dengan lancar dalam kalangan PKMS.

Kenyataan itu memaklumkan, langkah terbabit dimaklumkan menerusi siaran media Kementerian Kewangan pada minggu lepas.

"Sepanjang tempoh peralihan bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, pembayar cukai dibenarkan mengeluarkan e-Invois disatukan secara bulanan bagi semua transaksi.

"Dalam tempoh sama, tiada penalti dikenakan terhadap ketidakpatuhan, tertakluk kepada pematuhan pengeluaran e-Invois disatukan," ujarnya lagi.

Sebarang pertanyaan atau khidmat nasihat boleh diperoleh melalui saluran rasmi HASiL termasuk kunjungan ke pejabat, talian Meja Bantuan e-Invois, MyInvois Live Chat, e-mel serta borang maklum balas pelanggan.