HASiL rekod taksiran tambahan RM4.4 bilion

Business & Finance
4 Aug 2026 • 5:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: HASiL rekod taksiran tambahan RM4.4 bilion

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meredkodkan taksiran tambahan berjumlah RM4.4 bilion sehingga 30 Jun 2026 daripada usaha berterusan memperkukuh pematuhan percukaian dan melindungi hasil negara.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen HASiL dalam memastikan kutipan hasil negara terus terpelihara di samping memperkukuh integriti sistem percukaian negara.

“Dalam usaha meningkatkan pematuhan cukai, HASiL turut menegaskan  perlindungan hak pembayar cukai kekal menjadi keutamaan. 

“Pembayar cukai diberi peluang mengemukakan rayuan serta menyelesaikan pertikaian melalui Jabatan Resolusi Pertikaian yang menyediakan proses penyelesaian secara profesional, adil dan berkesan,” katanya dalam ucapan dalam Persidangan Percukaian Kebangsaan ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Menurut beliau, HASiL berpandangan positif terhadap kes percukaian yang dibawa ke mahkamah kerana proses tersebut membantu memperkukuh kepastian undang-undang melalui penjelasan terhadap pentafsiran dan pemakaian peruntukan percukaian.

“Dari aspek tadbir urus, setiap kes pembayar cukai menjalani proses semakan menyeluruh di peringkat cawangan, negeri dan ibu pejabat sebelum taksiran tambahan dikeluarkan. 

“Pendekatan itu memastikan setiap keputusan dibuat secara telus, objektif dan berlandaskan undang-undang, sekali gus meningkatkan keyakinan pembayar cukai terhadap sistem percukaian negara,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Tariq berkata, dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), HASiL boleh melaksanakan automasi tugasan rutin, memperkasa proses membuat keputusan dan mengukuhkan pengurusan risiko menerusi analisis data yang lebih canggih.

“Sebagai contoh, AI telah memperkasakan keupayaan analitik data HASiL dengan membolehkan pemprosesan, penelitian dan analisis ke atas lebih 1.6 bilion e-Invois yang telah diterima setakat ini.

“Keupayaan ini membolehkan corak transaksi dikenal pasti dengan lebih pantas dan tepat, sekali gus meningkatkan keberkesanan pengesanan risiko pematuhan, memperkukuh integriti data percukaian serta menyokong proses membuat keputusan yang lebih berasaskan data,” katanya.

Bertemakan ‘Percukaian Masa Hadapan: Memacu Kepercayaan, Ketelusan dan Transformasi’, Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 dirancang dengan teliti bagi membincangkan isu-isu yang paling relevan dalam landskap percukaian semasa. 

Persidangan selama dua hari itu meneroka pelbagai topik teknikal termasuk harga pindahan, insentif cukai, daya saing serantau serta perkembangan percukaian antarabangsa. – UTUSAN

The post HASiL rekod taksiran tambahan RM4.4 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved