
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 November ini bagi keputusan semakan kehakiman Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung Notis Taksiran Tambahan membabitkan lebih RM5 juta antara 2017 hingga 2019.
Notis- notis taksiran tambahan itu ialah Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2017 bernilai RM2,558,875.90, Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2018 bernilai RM2,445,004.91 dan Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2019 berjumlah RM16,826.37 yang kesemua berjumlah RM5,020,707.18.
Hakim Datuk Azizan Md Arshad menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak hari ini.
“Mahkamah menetapkan 16 November ini bagi keputusan kes (semakan kehakiman) pukul 9 pagi,” kata Hakim Azizan.
Terdahulu, peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Mukhriz, 62, berhujah bahawa taksiran tambahan bagi tahun 2019 telah dijelaskan dan menyatakan notis berkenaan adalah tidak sah kerana ia dikeluarkan selepas tamat tempoh lima tahun yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Beliau berkata walaupun notis itu dikeluarkan selepas tempoh berkenaan LHDN sepatutnya menyatakan secara khusus alasan bagi pelanjutan tempoh tersebut sama ada disebabkan penipuan, keingkaran disengajakan atau kecuaian.
“Dalam kes ini tiada alasan diberikan, kalau mahu keluarkan taksiran tambahan selepas tempoh masa boleh tetapi perlu bagi tahu satu daripada tiga sebab tetapi tiada sebab langsung.Jika alasan itu dinyatakan, kami akan membawa perkara ini ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT),” kata peguam itu.
Nizamuddin berkata pihaknya hanya mengetahui bahawa pelanjutan tempoh itu dibuat atas alasan kecuaian selepas cabaran undang-undang difailkan di mahkamah.
Sementara itu, Peguam Hasil Kanan (SRC) Marina Ibrahim berhujah bahawa notis tersebut dikeluarkan selepas tempoh asal kerana lanjutan masa telah diberikan kepada bekas Menteri Besar Kedah itu untuk menyelesaikan urusannya berhubung permintaan maklumat oleh LHDN.
“Pada masa yang material, lanjutan masa diberikan untuk menyediakan dokumen-dokumen berkenaan dan adalah tidak adil untuk menggunakan perkara itu terhadap responden,” katanya.
Tambah beliau, kes ini masih bergantung kepada fakta dan mahkamah tidak boleh mendengar serta memutuskan perkara berkaitan cukai yang berasaskan fakta.
Mukhriz selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu menerusi Tetuan Zharif Nizamuddin di sini pada 20 Disember 2024 di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.
Berdasarkan permohonan, Mukhriz memohon supaya satu Perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan responden pertama untuk mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan 2017, 2018 dan 2019 dengan alasan ultra vires, menyalahi undang-undang, melanggar keadilan semula jadi dan tidak munasabah.
Selain itu pemohon juga, memohon suatu deklarasi bahawa responden kedua telah menggunakan kuasa secara salah dengan sehingga menyebabkan responden mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tiga tahun tersebut dan mengakibatkan responden pertama mengeluarkan Sijil Di Bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Bagaimanapun pada 24 Julai tahun lalu, Anwar dan kerajaan berjaya dalam permohonan untuk mengeluarkan nama mereka dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh ketika itu memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Anwar atas kapasiti Menteri Kewangan dan kerajaan agar mahkamah membatalkan nama mereka selaku responden dalam semakan kehakiman berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Semakan kehakiman taksiran cukai Mukhriz diputuskan 16 November appeared first on Kosmo Digital.




